Anggota polis diminta utama keselamatan berdepan mat rempit

Azisman Alias
Azisman Alias
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keselamatan anggota semasa menjalankan tugas melibatkan operasi mencegah lumba haram sentiasa dititikberatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, anggota polis yang terlibat dalam mana-mana operasi membanteras lumba haram dinasihat menggunakan pendekatan mengumpul bukti melalui gambar dan video kenderaan dan individu terbabit untuk tujuan penguatkuasaan dan pendakwaan di mahkamah.

Beliau berkata, anggota polis yang terlibat dalam operasi juga dinasihatkan untuk tidak 'engage' atau berdepan dengan kumpulan-kumpulan yang berlumba ini kerana ia boleh membahayakan keselamatan diri anggota terlibat.

"Walaupun polis tidak dapat membuat penahanan pada hari yang sama tetapi bukti-bukti ini boleh digunakan untuk pihak polis melakukan tahanan,” katanya pada Selasa.

Azisman berkata, pendekatan sedemikian digunakan sejak beliau menjadi pengarah di jabatan berkenaan pada tahun 2018 dan semua JSPT di seluruh kontinjen polis negeri menggunakan pendekatan yang sama.

"Bagi kes yang berlaku di Kajang, ia adalah kemalangan yang tidak disengajakan dan kami amat terkilan dengan kejadian itu, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemalangan yang mengorbankan dua anggota polis ketika mengejar pelumba haram di kilometer 24.4 Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang ke Putrajaya, awal Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, Sarjan Mohd Arifah Md Yasin, 36, dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik dan Konstable Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, dari cawangan Jenayah D4, maut di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, anggota polis perlu menjaga keselamatan dan tidak membahayakan diri semasa menjalankan tugas.

“Dalam menjalankan penguatkuasaan trafik seperti mencegah perlumbaan haram, ramai anggota diperlukan bagi tugasan sekatan jalan raya dan unit-unit untuk mengejar kenderaan yang berlumba,” katanya.

Beliau berkata, selain menahan individu yang terbabit dalam lumba haram, polis juga boleh bertindak merekodkan nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit melanggar kesalahan trafik untuk dibawa ke mahkamah. - Bernama