Jumlah kenderaan meningkat di Kota Bharu

Jumlah kenderaan di Kota Bharu meningkat dua peratus selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran aktiviti rentas daerah yang bermula pada Selasa.
Jumlah kenderaan di Kota Bharu meningkat dua peratus selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran aktiviti rentas daerah yang bermula pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU – Jumlah kenderaan di Kota Bharu meningkat dua peratus selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran aktiviti rentas daerah yang bermula pada Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jumlah kenderaan meningkat di beberapa laluan utama di daerah berkenaan.

“Jumlah kereta meningkat hanya berlaku di Kota Bharu melibatkan pergerakan dalam daerah. Pada masa ini pergerakan di daerah lain seperti hari biasa seperti sebelum kelonggaran diberikan.

“Mungkin hari ini (Selasa) cuti Maal Hijrah di Kelantan namun diharap keadaan tidak berterusan bagi memastikan situasi seperti ini tidak menyumbang penularan kes Covid-19 di negeri Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Menurutnya, sehingga jam 3 petang, polis tidak menerima sebarang laporan atau aduan mengenai penggunaan sijil vaksin Covid-19 palsu.

Katanya, mereka yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) juga memberi kerjasama baik dengan menunjukkan aplikasi Mysejahtera masing-masing selain menyatakan tujuan ke lokasi berkenaan.

“Jaga keselamatan dan jangan ada menipu melibatkan sijil ini. Ia mengancam nyawa kita dan orang ramai. Jangan pentingkan diri sendiri.

“Nasihat saya, walaupun diberikan kelonggaran, tapi jika tiada urusan penting, duduklah di rumah. Jika perlu keluar, jaga diri dan keluarga sebaik mungkin,” kata beliau.

Artikel Berkaitan: