X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Lelaki ditahan pukul isteri, anak

Satu hantaran yang tular di media sosial. (Mohon blurkan nama..tq)
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memukul isteri dan anak lelakinya di sebuah rumah di Taman Melati Utama di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, penahanan itu dilakukan setelah pihaknya terkesan terhadap satu hantaran berkaitan pergaduhan melibatkan suami isteri itu yang tular di laman sosial Twitter.

"Hasil semakan mendapati seorang wanita berusia 44 tahun bersama anak lelakinya berusia 14 tahun telah dipukul oleh suaminya berusia 44 tahun di kediaman mereka," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Ashari berkata, hantaran yang tular di laman sosial serta bunyi bising telah menyebabkan jirannya datang ke kediaman mereka untuk meredakan keadaan.

"Pihak polis juga telah ke tempat kejadian dan membawa isteri serta anaknya ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan, pihaknya mendapati pergaduhan tersebut berlaku pada jam 11.30 pagi.

"Suspek telah memarahi serta menuduh mangsa mengambil wangnya.

Mangsa yang hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan telah menyebabkan suspek berang dan bertindak memukul mangsa dan anak mereka yang cuba untuk meleraikan pergelutan tersebut," katanya.

Menurutnya, setelah pergelutan tersebut selesai, anak mangsa telah memuat naik hantaran berkenaan pergaduhan tersebut di Twitter dan telah menjadi tular.

"Hal tersebut telah disedari oleh suspek pada jam 1.17 petang dan menyebabkan suspek sekali lagi menyerang anak mangsa," katanya.

Ashari berkata, mangsa telah membuat laporan Polis di Balai Polis Wangsa Maju kerana bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga yang lain.

"Suspek telah ditahan di Balai Polis Wangsa Maju dan permohonan reman akan dibuat pada Selasa. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat, boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!