Hampir 300 orang solat jenazah ghaib buat Siti Sarah di Masjidil Haram

Allahyarham Siti Sarah
Allahyarham Siti Sarah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemergian penyanyi kesayangan ramai, Siti Sarah Raissuddin ke rahmahtullah pada awal pagi Isnin meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada banyak pihak.

Pengakhirannya dicemburui ramai kerana Allahyarham pergi dalam penuh keindahan sehingga disifatkan ramai ilmuwan agama sebagai kematian husnol khatimah.

Di akhir perjalanan Siti Sarah menuju ke tanah perkuburan, ribuan orang menitipkan doa dan mengirim ucapan-ucapan indah selain berkongsi banyak kisah kebaikan yang dilakukannya.

Bahkan, bacaan Yasin dan tahlil diadakan tidak putus-putus sejak mendapat khabar Allahyarham sedang tenat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehinggalah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir.

Demikian juga dengan solat jenazah secara ghaib juga diadakan oleh ramai kenalan Siti Sarah dan suaminya, Shuib Sepahtu memandangkan Allahyarham meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dan upacara itu tidak dapat dilakukan seperti kelazimannya.

Terbaharu, Shuib berkongsi solat jenazah secara ghaib juga diadakan di Masjidilharam, Makkah oleh hampir 300 jemaah.

Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa syukur Shuib apabila menerima kiriman video dari Tanah Suci yang turut dimuat naik di akaun Instagram peribadinya pada Selasa.

“Allahuakbar, Allah Maha Besar. Dapat kiriman video solat ghaib jenazah dalam Masjidilharam, ALLAH terlalu sayang ibu (panggilan mesra buat Siti Sarah). Bergembiralah di syurga bidadariku Siti Sarah,” tulis Shuib dalam hantaran itu.

Artikel Berkaitan:

Shuib berkongsi solat jenazah secara ghaib juga diadakan di Masjidilharam, Makkah oleh hampir 300 jemaah.
Shuib berkongsi solat jenazah secara ghaib juga diadakan di Masjidilharam, Makkah oleh hampir 300 jemaah.

Hantaran Shuib itu turut mendapat reaksi ramai selebriti termasuk pendakwah Ebit Lew yang menurunkan komen yang menyentuh hati.

Kata Ebit, ganjaran solat jenazah ghaib itu adalah tanda ALLAH menyayangi pasangan suami isteri itu.

“Allah sayang @shuibsepahtu @sitisarahraissuddin, janji Allah itu benar buat orang yang baik, dermawan dan taat pada suami dan fikir umat yang ada padanya,” tulis Ebit.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah meninggal dunia

'Jaga anak-anak dengan baik, pesanan terakhir Sarah'

'Banyak kebaikan dibuat Siti Sarah, duit bulanan diguna untuk sedekah'

Pelakon Mira Filzah, penyanyi nasyid Fakhrul (UNIC) dan ramai selebriti lain juga menulis komen mengenai kebesaran ganjaran yang Allah berikan kepada Allahyarham Siti Sarah.

Siti Sarah yang popular dengan lagu Kesetiaan meninggal dunia disebabkan Covid-19 selepas beberapa hari bertarung nyawa di ICU HCTM.

Alalhyarham juga ketika itu sedang hamil tujuh bulan.

Tiga hari sebelum pemergiannya, doktor membuat keputusan untuk membedah Allahyarham bagi mengeluarkan anak keempat artis berkenaan.

Zuriat keempat pasangan Siti Sarah dan Shuib dinamakan sebagai Ayash Affan.

Tiga lagi anak Siti Sarah ialah Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6,

Allahyarham Siti Sarah, 36, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 1.20 tengah hari pada Isnin. - Awani