'Berhenti bandingkan arwah Siti Sarah dengan tunang' - Shuib

Shuib dan anak-anaknya bersama Watie semasa majlis pertunangan. - Foto: IG Shuibsepahtu
Shuib dan anak-anaknya bersama Watie semasa majlis pertunangan. - Foto: IG Shuibsepahtu
A
A
A

"ALLAHYARHAM Siti Sarah sentiasa berada di tempat paling istimewa dalam hidup saya," kata pelawak dan penyampai radio, Shuib.

Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhammad, 39, turut berharap netizen di laman sosial untuk berhenti membuat perbandingan antara arwah isterinya dengan tunangnya kini iaitu Watie Hanifiah.

"Sarah ada di tempat paling istimewa dalam hidup saya... Watie pun tahu perkara itu. Jadi, perbandingan itu tidak sepatutnya. Sebab kita kena terima realitinya.

“Dan tidak adil juga untuk dia (Watie). Pada saya, apa salah dia... dia nak ada dengan saya untuk anak-anak, untuk keluarga. Perbandingan itu menyakitkan orang juga,” katanya kepada Gempak.

Shuib ditemui di majlis rumah terbuka syarikat pengurusannya iaitu Indigital yang berlangsung di Bandar pada malam Selasa.

Mengulas mengenak kecaman netizen terhadapnya, Shuib berkata, segala keputusan yang dibuat adalah untuk anak-anaknya.

"Kalau orang nak kecam saya, kena berbalik kepada niat untuk berkahwin. Saya buat ini untuk anak-anak, kalau ikutkan saya lebih senang membujang sahaja.

"Saya ada tanggungjawab yang cukup besar malah arwah juga mahu saya membesarkan anak-anak kami dengan baik," ujarnya.

Shuib selamat bertunang dengan Watie dalam majlis tertutup di kediaman usahawan itu di Shah Alam pada Sabtu.

Shuib menghadiahkan tiga dulang hantaran termasuk sirih junjung, kasut dan manisan kepada Watie manakala pihak wanita pula membalas lima dulang berupa kasut, manisan, sirih junjung, buah-buahan dan sampin.

Pasangan itu dijangka melangsungkan pernikahan pada 23 Jun depan.

Shuib berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.