Sediakan awal 'screen shot' Mysejahtera: Polis

Semua penduduk Pulau Pinang yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dinasihatkan menyediakan tangkap layar aplikasi Mysejahtera bagi memudahkan pemeriksaan di SJR.
Semua penduduk Pulau Pinang yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dinasihatkan menyediakan tangkap layar aplikasi Mysejahtera bagi memudahkan pemeriksaan di SJR.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menasihatkan semua rakyat di Pulau Pinang menyediakan tangkap layar (screen shot) penerimaan dos suntikan vaksin dari aplikasi Mysejahtera susulan negeri berkenaan diberi kelonggaran untuk merentas daerah bermula esok.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, penduduk di Pulau Pinang yang sudah menerima dua dos suntikan diminta menyediakan tangkap layar itu menerusi telefon bimbit masing-masing bagi memudahkan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR).

Menurutnya, selain itu, polis melalui ketua polis daerah akan membuat pemantauan di semua premis bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Pulau Pinang antara negeri diberi kelonggaran seperti diumumkan semalam. Sumber Kementerian Kesihatan (KKM) Pulau Pinang menyatakan kira-kira 61.7 peratus penduduk Pulau Pinang menerima dos pertama vaksin dan 27 peratus bagi dos kedua.

"Ini menunjukkan, individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin dalam tempoh dua minggu layak untuk mendapatkan kemudahan diberikan seperti merentas daerah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutna, semua pihak diminta mematuhi SOPditetapkan bagi aktiviti yang dibenarkan antaranya makan di kedai (dine-in).

"Kerajaan mengeluarkan peraturan dan garis panduan yang jelas bagi mengadakan aktiviti dibenarkan antaranya bersukan, riadah, rekreasi dan sektor sosial.

"Mereka yang lengkap mendapat dua dos vaksin boleh menikmati kelonggaran diberikan. Pemilik atau pengusaha premis makanan perlu memastikan pekerja divaksin dengan mempamerkan deklarasi penerima vaksin lengkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta pemilik premis untuk memastikan hanya 50 peratus bilangan pelanggan di setiap meja dalam satu masa.

"Pemilik premis perlu memastikan hanya 50 peratus pelanggan di setiap meja (daripada keluasan) dan memastikan susun atur meja mengikut penjarakan.

"Selain itu, pemilik premis perlu memastikan pengudaraan di dalam kedai berada dalam keadaan baik dan memastikan hanya pelanggan yang menerima vaksin lengkap berada di dalam premis," katanya.

Kerajaan mengumumkan individu yang menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta 'dine-in' di restoran bermula Selasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya.

Menurut beliau, kebenaran rentas daerah dan negeri yang terpakai kepada semua fasa PPN melibatkan pasangan jarak jauh dan ibu bapa untuk bertemu anak.