Ahmad Zahid persoal pendirian MP UMNO sokong PN

Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan pendirian ahli Parlimen parti itu yang terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menetapkan penangguhan pemilihan UMNO tidak sah.

Ahmad Zahid berkata, timbul persoalan tentang pendirian ahli Parlimen UMNO yang menjadi menteri dan timbalan menteri kekal menyokong kerajaan PN.

"Apakah mereka yang mempertahankan kerajaan PN pimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merestui tindakan kerajaan PN ke atas parti mereka sendiri?

"Saya seru kepada mereka bukalah mata hati dan insafilah perjuangan politik yang sebenar demi rakyat dan negara," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

RoS pada Jumaat lalu menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim berkata, ketetapan dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Justeru, UMNO perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh baharu kepada RoS dalam tempoh terdekat.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menzahirkan kebimbangan jika perkembangan mutakhir itu cuma satu tindakan terdesak kerajaan PN untuk cuba menekan dan seterusnya melemahkan UMNO.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, UMNO tidak akan berdiam diri dengan ketetapan dibuat RoS.

"Insya-ALLAH UMNO tidak akan berdiam diri. UMNO tahu apa perlu dilakukan," katanya.

Ahmad Zahid menambah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah memberi penjelasan lengkap mengenai perkara berkaitan pemilihan UMNO yang dibangkitkan ROS.

"Bermula daripada perbincangan Mesyuarat MKT UMNO sehingga kepada respons oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RoS dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penangguhannya.

"Intipati surat oleh KKM dan MKN yang mencadangkan supaya mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian turut didedahkan," katanya.

Beliau menjelaskan, penangguhan pemilihan UMNO tidak boleh disamakan dengan penangguhan sidang Parlimen kerana ia membabitkan 66,287 mesyuarat dan 3.3 juta ahli UMNO.

Katanya, terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Sidang Parlimen pula masih boleh diteruskan dengan SOP ketat yang mudah untuk dipantau serta dipastikan pematuhannya," kata beliau.