Sultan Selangor lancar pameran lukisan masjid

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin ketika berkenan melancarkan pameran seni bertajuk 'Inspirasi Imaginasi Interpretasi Masjid-Masjid di Malaysia di Muzium Kesenian Islam hari ini. - Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin ketika berkenan melancarkan pameran seni bertajuk 'Inspirasi Imaginasi Interpretasi Masjid-Masjid di Malaysia di Muzium Kesenian Islam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan pameran seni lukisan bertajuk 'Inspirasi – Imaginasi – Interpretasi : Masjid-Masjid di Malaysia' di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu disambut Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul (PCORE), Datuk Halimah Mohd Said dan Ketua Jabatan Kurator muzium, Dr Heba Nayel Barakat.

Pameran bermula semalam hingga 11 Disember itu menampilkan hasil karya lebih 20 pelukis profesional dan amatur yang menzahirkan pemahaman dan ekspresi seni mereka terhadap seni bina masjid di Malaysia.

Menurut Halimah, kepelbagaian reka bentuk masjid harus diangkat dan diluahkan dalam bentuk lukisan supaya masyarakat dapat melihat masjid sebagai satu tempat komuniti dan bukan untuk beribadah semata-mata.

"Saya harap masyarakat dapat menghayati keindahan dan nilai estetik yang terdapat menerusi seni bina masjid pada pameran ini terutama generasi muda, " katanya yang turut mempamerkan enam hasil karya lukisannya pada pameran itu.

Karya seni yang dipamerkan akan turut dijual dan sebahagian hasil jualan akan digunakan untuk tujuan kebajikan.

Selain Muzium Kesenian Islam Malaysia, pameran yang dibawakan khas oleh PCORE itu turut mendapat sokongan Yayasan Albukhary dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. -Bernama

Artikel Berkaitan: