Suami isteri lengkap vaksin dibenar merentas jumpa pasangan, anak

Suami isteri jarak jauh yang telah mendapat dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan merentas daerah atau negeri bagi bertemu pasangan masing-masing.
Suami isteri jarak jauh yang telah mendapat dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan merentas daerah atau negeri bagi bertemu pasangan masing-masing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan ia terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa pada Selasa ini, 10 Ogos.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi kemudahan itu, pasangan suami isteri jarak jauh yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

Selain itu, katanya ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi mereka juga dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.

"Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk Penduduk Tetap dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam pengumuman khas kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Muhyiddin menjelaskan seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah melengkapkan vaksinasinya apabila telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan untuk diktiraf sebagai telah melengkapkan vaksinasinya.

Memahami permintaan orang ramai yang ingin kembali menunaikan solat di masjid dan surau, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja dibenarkan bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ia terpakai ke atas semua fasa dalam PPN.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pihak masjid dan surau perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan memastikan jemaah terus pulang setelah selesai menunaikan solat.

“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

”Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat dan ia tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri serta Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam,” katanya. - Bernama