Individu lengkap vaksinasi boleh rentas negeri, 'dine-in' bermula Selasa

Individu yang sudah lengkap dua dos vaksin di negeri Fasa Dua PPN dibenarkan untuk makan di restoran bermula Selasa ini. - Foto Bernama
Individu yang sudah lengkap dua dos vaksin di negeri Fasa Dua PPN dibenarkan untuk makan di restoran bermula Selasa ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta 'dine-in' di restoran bermula Selasa ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya.

Menurut beliau, kebenaran rentas daerah dan negeri yang terpakai kepada semua fasa PPN melibatkan pasangan jarak jauh dan ibu bapa untuk bertemu anak.

"Pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah dan negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

"Ibu bapa yang mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pengumuman Khas mengenai Kemudahan-Kemudahan Bagi Individu Yang Menerima Vaksinasi Lengkap secara langsung di rangkaian televisyen tempatan pada Ahad.

Muhyiddn berkata, kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja dibenarkan di masjid dan surau bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap membabitkan semua fasa dalam PPN.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jemaah perlu menunjukkan sijil vaksinasi lengkap kepada petugas masjid dan surau selain

Artikel Berkaitan:

memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sehingga jemaah pulang.

"Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah ibadat. Pelaksanaan tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat selain Islam," katanya.

Beliau menjelaskan, bagi pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia dan pulang atau tiba dari luar negara serta mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Muhyiddin berkata, kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam fasa dua dan seterusnya pula merangkumi kebenaran rentas daerah, 'dine-in', aktiviti sukan dan kebenaran melancong dalam negeri sama.

"Aktiviti dine-in juga dibenarkan. Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain ia sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk 'dine-in' apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk membungkus makanan jika situasi mengizinkan kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga berbual dengan teman semeja yang mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan Covid-19,

"Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka. Saya juga ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

"Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk 'dine-in' menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19," katanya.

Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk 'dine-in' di kedai makan pula, Muhyiddin mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mematuhi SOP yang ketat.

Dalam pada itu beliau berkata, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan juga dibenarkan.

"Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik.

"Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam," katanya.

Pun begitu katanya, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis kelab berkenaan tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

Aktiviti yang dibenarkan seperti joging, senaman, taici, berbasikal, papan selaju, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis badminton, golf, permotoran dan seumpamanya.

Dalam pada itu Muhyiddin memberitahu, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan inap desa dan hotel.

Jelasnya, pengusaha inap desa dan hotel perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.

"Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang diumumkan itu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat," katanya.

Tambah beliau, kemudahan sektor ekonomi pula sedang dibincangkan dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas MKN dan akan akan diumumkan beliau dalam waktu terdekat.