20 ditahan dalam operasi banteras judi, kontraband

Sebahagian daripada rokok dan minuman keras yang dirampas polis dalam operasi bersepadu membanteras judi di beberapa premis sekitar daerah Kota Tinggi pada Jumaat.
Sebahagian daripada rokok dan minuman keras yang dirampas polis dalam operasi bersepadu membanteras judi di beberapa premis sekitar daerah Kota Tinggi pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis menahan 20 individu termasuk empat wanita tempatan dalam 16 serbuan berasingan membabitkan beberapa premis di daerah ini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, daripada jumlah itu, empat lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 58 tahun turut ditahan.

Menurutnya, Ops Bersepadu Perjudian dan Kontraband Daerah Kota Tinggi bermula dari jam 10 pagi hingga 7 petang itu disertai anggota dari Balai Kota Tinggi, Bahagian Siasatan Jenayah dan Pasukan Task Force Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

"Polis juga merampas 11 buah telefon bimbit, wang tunai RM2,350, 213 karton rokok seludup dan 37 botol minuman keras tanpa cukai. Nilai rampasan berjumlah RM52,320," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) 4(1)(C) dan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 selain Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Tambah beliau, semua suspek direman selama empat hari sehingga 11 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan operasi dan pemantauan premis perjudian serta aktiviti kontraband.

Hussin turut memberitahu, tindakan penganjur akan dituduh di mahkamah atau diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan 1959.

Artikel Berkaitan: