2 Ketua UMNO Bahagian letak jawatan pengerusi lembaga pengarah universiti

Universiti Malaysia Sabah
Universiti Malaysia Sabah
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada Sabtu meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa serta-merta.

Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu berkata, ia selaras dengan ketetapan yang telah diputuskan di dalam MKT UMNO pada 3 Ogos lepas dan sebagai Ahli MKT UMNO, beliau patuh dan setia dengan ketetapan parti.

"Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dengan serta-merta," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan UMS kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya di universiti itu.

Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Kota Belud, dilantik ke jawatan itu pada 3 Februari lepas.

Di Pulau Pinang, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Lembaga Pengarah UPM Holdings Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.

Shah Headan, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang berkata, keputusan itu berikutan tindakan UMNO Pusat menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional.

"Saya mengambil tanggungjawab ini selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti. Keputusan ini dibuat atas kerelaan saya serta bukan paksaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Tular sebelum ini di laman sosial Facebook status terkini Shah Headan yang memuat naik surat peletakan jawatannya bertarikh Jumaat ditujukan kepada dan diterima oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pada Jumaat, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO, turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta-merta. - Bernama