Kes demam denggi turun 20 hingga 94 peratus tahun ini

Kes demam denggi menunjukkan penurunan antara 20 hingga 94 peratus di semua negeri di Malaysia pada tahun ini berbanding tahun lepas. (Gambar kecil: Dr Adham Baba)
Kes demam denggi menunjukkan penurunan antara 20 hingga 94 peratus di semua negeri di Malaysia pada tahun ini berbanding tahun lepas. (Gambar kecil: Dr Adham Baba)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes demam denggi menunjukkan penurunan antara 20 hingga 94 peratus di semua negeri di Malaysia pada tahun ini berbanding tahun lepas, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, bermula Januari sehingga 6 Ogos 2021, jumlah kumulatih kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 16,565 kes berbanding 63,988 kes bagi tempoh yang sama pada 2020 iaitu pengurangan sebanyak 47,423 kes atau 74.1 peratus.

“Purata bilangan kes mingguan demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 534 kes seminggu berbanding 1,700 kes seminggu pada 2020 dan 2,500 kes seminggu pada 2019.

“Bilangan kematian akibat wabak itu sehingga kini pula adalah 10 kematian berbanding 106 kematian bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu pengurangan sebanyak 96 kematian (90.6 peratus),” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Dr Adham berkata, walaupun negara sedang bergelut dengan Covid-19, semua pihak tidak boleh mengabaikan usaha pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit seperti demam denggi kerana kealpaan itu boleh menyebabkan kejayaan yang telah dicapai akan terhapus dalam sekelip mata.

Beliau menjelaskan ia akan merumitkan lagi keadaan kerana negara akan berhadapan dengan ancaman kesihatan awam berganda dari demam denggi dan akan memberi tekanan tambahan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan.

Menurut Dr Adham, penyakit demam denggi belum mempunyai vaksin yang benar-benar berkesan untuk melindungi penduduk daripada jangkitan berterusan dan usaha yang telah terbukti berkesan perlu diteruskan bagi mengekalkan kejayaan menurunkan penyakit berkenaan.

Justeru, komitmen penuh dan kerjasama daripada penduduk setempat, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat swasta, badan bukan kerajaan dan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) amat diperlukan untuk menangani isu kebersihan terutama di kawasan perumahan serta tempat tumpuan awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: