Kerajaan kutip hanya RM465 juta tunggakan pinjaman pada 2025 - LKAN

Kerajaan Persekutuan merekodkan kadar bayaran balik tunggakan pinjaman yang rendah pada 2025, dengan hanya RM465.0 juta atau lima peratus daripada RM9.27 bilion tunggakan tahun sebelumnya berjaya diperoleh. Gambar hiasan
Kerajaan Persekutuan merekodkan kadar bayaran balik tunggakan pinjaman yang rendah pada 2025, dengan hanya RM465.0 juta atau lima peratus daripada RM9.27 bilion tunggakan tahun sebelumnya berjaya diperoleh. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan merekodkan kadar bayaran balik tunggakan pinjaman yang rendah pada 2025, dengan hanya RM465.0 juta atau lima peratus daripada RM9.27 bilion tunggakan tahun sebelumnya berjaya diperoleh.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025 memaklumkan sehingga 31 Disember, 2025, tunggakan pinjaman melebihi enam tahun adalah berjumlah RM5.02 bilion atau 62.1 peratus daripada keseluruhan tunggakan berjumlah RM8.08 bilion.

"Kutipan bayaran balik tunggakan pinjaman yang kurang berkesan menyebabkan tindakan penstrukturan semula perlu dibuat sebagai langkah pemulihan bagi membantu peminjam melunaskan bayaran balik,” maklum laporan itu.

Analisis audit itu turut mendapati masih berlaku tunggakan baharu berjumlah RM16.15 juta selepas penstrukturan semula pinjaman, walaupun pinjaman berkenaan telah distruktur antara satu hingga lima kali, dengan tempoh bayaran balik pinjaman yang distruktur semula dilanjutkan antara 10 hingga 40 tahun.

"Kerajaan Persekutuan juga kehilangan potensi untuk mengutip baki pokok belum selesai berjumlah RM127.33 juta dan melepaskan hasil kutipan faedah dan faedah lewat berjumlah RM450.99 juta kesan daripada hapus kira,” menurut laporan itu.

LKAN turut mengesyorkan agar Kementerian Kewangan memperkukuh mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan bayaran balik dengan memastikan tindakan susulan atau notis tuntutan dikeluarkan segera sebaik sahaja tunggakan berlaku.

Selain itu, tindakan perundangan boleh dipertimbangkan terhadap peminjam yang gagal mematuhi perjanjian tanpa alasan yang munasabah untuk menambah baik pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut.

"Analisis keupayaan kewangan dan penilaian risiko yang lebih ketat perlu dilaksanakan sebelum kelulusan pengeluaran pinjaman baharu atau penstrukturan semula dibuat bagi mengelakkan pendedahan risiko kerugian kepada kerajaan.

"Kementerian Kewangan turut disyorkan agar menilai proses penstrukturan semula pinjaman untuk memastikan ia benar-benar dapat membantu pemulihan aliran tunai peminjam dan meningkatkan keupayaan untuk membayar balik pinjaman,” tambah laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, LKAN turut menjelaskan bahawa baki pinjaman boleh dituntut berjumlah RM49.22 bilion melibatkan peminjam direkodkan sehingga 31 Dis, 2025, berbanding RM49.62 bilion pada 2024, menunjukkan penurunan sebanyak RM398.0 juta.

"Baki faedah dan faedah lewat turut mencatatkan penurunan sebanyak 13.1 peratus atau RM358.0 juta kepada RM2.375 bilion pada 2025 berbanding RM2.733 bilion pada 2024.

"Pengurangan pinjaman boleh dituntut serta faedah dan faedah lewat adalah disebabkan oleh bayaran balik dan hapus kira,” jelas laporan tersebut yang dikeluarkan hari ini.

Pinjaman boleh dituntut merupakan pinjaman yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada enam kategori peminjam, iaitu syarikat, kerajaan negeri, badan berkanun, pelbagai agensi, koperasi dan perseorangan.

Pinjaman tersebut antaranya diberikan bagi membiayai projek bekalan air, perumahan untuk rakyat dan bayaran balik pinjaman.

Bayaran balik pinjaman yang telah matang (anuiti matang) perlu dibuat oleh peminjam kepada Kerajaan Persekutuan mengikut jadual bayaran balik pinjaman serta terma yang ditetapkan dalam perjanjian.

Bayaran balik anuiti matang terdiri daripada nilai pokok, faedah dan faedah lewat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!