Perkenal Kod Etika Wakil Rakyat: Rais Yatim

Tan Sri Dr Rais Yatim
Tan Sri Dr Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mencadangkan pengenalan Kod Etika Wakil Rakyat kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai usaha membina kumpulan pemimpin disegani dan layak dicontohi.

Menerusi penulisan dalam Jurnal Parlimen Malaysia bertajuk ‘Etika Legislatif untuk Wakil Rakyat’, beliau berkata, kod etika itu penting sebagai usaha mengawal dan mendisiplinkan wakil rakyat semasa berbahas di dewan mahupun di luar dewan.

“Oleh sebab Parlimen merupakan gedung legislatif yang mencipta pemimpin negara, semestinya setiap ahli Parlimen itu pula terdiri daripada manusia yang terdidik bukan sahaja dari sudut kelayakan yang bertauliah seperti berdiploma, berijazah tetapi juga kelayakan yang tuntas murni dan berjiwa besar yang dilengkapi budaya tinggi.

“Namun daripada realiti yang ada dalam buku laporan Hansard (Parlimen), ternyata proses mundur atau ‘deterioration’ sudah meresap ke dalam tingkah laku, ucapan dan gaya berdebat di Parlimen Malaysia,” katanya merujuk kepada tiga ucapan ahli Parlimen yang menggunakan perkataan mencarut atau bahasa kasar dan biadab pada tahun 2018.

Rais berkata, justeru sebelum perkara itu mengundang kritikan besar lagi bahaya, perubahan gerak kerja legislatif dalaman dan luaran harus dimulakan termasuk pengenalan kod etika yang boleh dikuatkuasakan di bawah Akta 347 iaitu Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 atau memadai melalui kuasa mana-mana Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat atau Dewan Negara serta DUN sedia ada.

Beliau berkata, bagi Dewan Negara, penubuhan Kod Etika Wakil Rakyat boleh dibuat berdasarkan suatu usul langsung di bawah Peraturan Mesyuarat 13(2)31 Dewan Negara.

Rais turut mencadangkan agar ahli Parlimen dan ADUN diberi kursus serta latihan untuk memastikan mereka menjadi wakil rakyat yang berintegriti dan mempunyai pengetahuan luas dalam bidang perundangan.

Beliau berkata, ketika ini, tidak ada institusi yang disediakan bagi mendidik ahli politik untuk berkhidmat kepada negara sebagaimana yang dilaksanakan untuk pegawai kerajaan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang mempunyai pusat latihan di Institut Tadbiran Awam Negara.

Artikel Berkaitan:

“Semua wakil rakyat perlu diwajibkan menjalani sekurang-kurangnya enam bulan latihan dan serlahan tatanegara yang bolehlah disegmenkan mengikut jadual lima tahun seseorang itu menjadi wakil rakyat.

“Jadikan ini sebagai tuntutan dan kuasa perundangan supaya tiada yang ponteng. Jika ponteng atau ‘curi tulang,’ Yang Berhormat itu wajib dikenakan tindakan disiplin legislatif di bawah Akta 347,” katanya. - Bernama