Bekalan ubat di HRPB mencukupi

Hospital Raja Permaisuri Bainun
Hospital Raja Permaisuri Bainun
A
A
A

IPOH - Bekalan ubat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini ketika ini adalah mencukupi untuk merawat Covid-19 dan penyakit lain.

Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman berkata, meskipun berlaku permintaan penggunaan ubat yang tinggi, bekalan ubat-ubatan di hospital terbabit tidak terputus sepenuhnya dan dibekalkan secara berperingkat.

"Permintaan penggunaan ubat yang tinggi untuk rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia telah menyebabkan sebahagian besar ubat-ubatan untuk rawatan penyakit ini meningkat secara mendadak dari Mei 2021, iaitu dalam kadar 6 hingga 11 bulan peningkatan kuantiti penggunaan dari kebiasaan.

"Bagaimanapun bekalan ubat-ubatan ini tidak terputus sepenuhnya, sebaliknya dibekalkan secara berperingkat untuk memenuhi keperluan perolehan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal media dalam talian pada 5 Ogos lalu berhubung gangguan bekalan ubat di hospital berkenaan.

Laporan portal media itu memetik memo dalaman HRPB yang tersebar antara lain menyatakan berlaku gangguan bekalan stok ubat di HRPB Ipoh akibat wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Malek berkata, memo dalaman itu adalah berkaitan gangguan ubat-ubatan peringkat global untuk edaran dan makluman semua Ketua Jabatan HRPB Ipoh sahaja.

Katanya, ia dikeluarkan sebagai persediaan awal serta disusuli tindakan yang terancang untuk mengatasi masalah gangguan bekalan ubat-ubatan tersebut bagi mengelakkan putusnya perawatan pesakit.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai usaha telah dilakukan kementerian untuk mengatasi masalah ini seperti membuat perolehan darurat, bekerjasama dengan pembekal-pembekal kontrak untuk mencari sumber-sumber alternatif.

"Juga berbincang dengan Ketua Pakar Penyakit Berjangkit berhubung ubat-ubat alternatif lain yang dapat digunakan untuk memastikan kesinambungan rawatan kepada pesakit dapat diteruskan.

"Pihak hospital komited bagi memastikan situasi ini dipantau berterusan dan sebarang isu diselesaikan dengan sebaiknya," katanya.