X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

'Valentino Rossi tetap yang terbaik'

Hafizh (kiri) ketika bersaing dengan Rossi semasa beraksi dengan pasukan lamanya sebelum ini. - Foto motomalaya.net, fb NTS RW Racing GP
A
A

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyifatkan keputusan Valentino Rossi untuk bersara daripada sukan MotoGp sebagai satu keputusan yang sukar untuk dilakukan oleh pelumba legenda berkenaan.

Bagaimanapun, Hafizh Syahrin tidak menolak kemungkinan juara dunia sembilan itu membuat keputusan sedemikian disebabkan kemunculan ramai pelumba baharu yang jauh lebih berkaliber hari ini.

“Bagi saya, keputusan yang dibuat oleh Valentino (Rossi) itu mungkin disebabkan dia kini sukar memberikan saingan kepada talent (pelumba) yang laju hari ini.

“Daripada apa yang saya dengar, dia pun ada kata, cukup sampai di sini (penglibatan) dalam dunia MotoGP.

“Bagaimanapun, bagi saya dia still the best bagi semua rider yang lain, zaman masa kecil kita nampak dia rider dan ikon, kalau pergi mana pun bila kita berborak, pasal Valentino Rossi. He’s one of the best!,” katanya pada Jumaat.

Pada sidang media sempena Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull sebelum ini, pelumba kelahiran Itali berusia 42 tahun itu mengumumkan keputusannya untuk bersara selepas tamat cuti musim panas.

Biarpun mengakui sedih mengumumkan persaraan berkenaan setelah berlumba hampir 30 tahun (sejak 1996), dalam kelas 125cc, 250cc dan 500cc, namun pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (PYSRT) menyifatkan dia sudah pun nekad membuat keputusan berkenaan.

Untuk rekod, Rossi kini berada pada kedudukan ke-19 selepas mengharungi sembilan perlumbaan musim ini.

Sementara itu, Hafizh Syahrin yang kini berlumba untuk NTS RW Racing GP turut berbangga kerana berpeluang berlumba bersama Rossi selain turut dapat menimba ilmu dengan belajar mengenai selok belok mengenai MotoGP.

“Saya memang terharu dan berbangga kerana sempat berlumba dengan dia selain berpeluang berkongsi pengalaman masing-masing pada satu kem anjuran Yamaha, tidak lama dulu.

“Selamat maju jaya buat Rossi dan 'all the best' untuk karier baharu nanti,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!