Isu PM cukup sokongan: PH Simpang Renggam lapor polis

PH Simpang Renggam membuat laporan polis berhubung kenyataan Perdana Menteri yang didakwa menipu Yang di-Pertuan Agong berkenaan jumlah sokongan ahli Parlimen terhadapnya, di Balai Polis Simpang Renggam, Kluang, pada Khamis.
PH Simpang Renggam membuat laporan polis berhubung kenyataan Perdana Menteri yang didakwa menipu Yang di-Pertuan Agong berkenaan jumlah sokongan ahli Parlimen terhadapnya, di Balai Polis Simpang Renggam, Kluang, pada Khamis.
A
A
A

KLUANG - Pakatan Harapan (PH) Bahagian Simpang Renggam membuat laporan polis pada Khamis berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menipu Yang di-Pertuan Agong berkenaan jumlah sokongan ahli Parlimen terhadapnya.

Laporan tersebut dibuat di Balai Simpang Renggam dekat sini, diketuai Pengerusi PH Bahagian Simpang Renggam, Khairudin Ahmad pada jam 4 petang.

Hadir sama, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Simpang Renggam, Wong Yun Chin; Ketua DAP bahagian, Kevin Wong; Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Simpang Renggam, Maulana dan wakil Ahli Parlimen Simpang Renggam, Sarif Mohyin.

Menurut Khairudin, laporan polis dibuat terhadap Muhyiddin kerana dipercayai menipu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai jumlah ahli Parlimen yang menyokong beliau setakat ini.

"Perkara itu dinyatakan Muhyiddin dalam sidang media pada 4 Ogos lalu yang mana beliau mendakwa telah mempersembahkan sejumlah sokongan ahli Parlimen yang masih menyokong beliau kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Sedangkan angka yang beliau persembahkan itu jelas palsu kerana sekitar 115 ahli Parlimen sepakat menolak kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Muhyiddin mengumumkan beliau masih lagi Perdana Menteri yang mendapat sokongan ahli Parlimen setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dalam pengumuman tersebut, Perdana Menteri menegaskan akan menentukan keabsahan dalam sidang Parlimen September ini.

Artikel Berkaitan:

Khairudin berkata, seramai 107 ahli Parlimen pembangkang dan lapan daripada UMNO juga telah mengisytiharkan mereka hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin.

"Justeru, saya berpendapat Muhyiddin telah mempersembahkan akuan sokongan palsu kepada Yang di-Pertuan Agong dan laporan polis dibuat agar perkara ini dapat disiasat," katanya.