Hubungi wakil rakyat jika nama tercicir terima bantuan: PM

Muhyiddin (dua dari kiri) di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar, Johor menyampaikan sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada 50 penghulu kampung di sekitar Pagoh dan Muar. - Foto FB Muhyiddin Yassin
Muhyiddin (dua dari kiri) di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar, Johor menyampaikan sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada 50 penghulu kampung di sekitar Pagoh dan Muar. - Foto FB Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang namanya tercicir daripada senarai penerima bantuan Bakul Prihatin Negara diminta segera menghubungi pemimpin masyarakat atau wakil rakyat masing-masing bagi membolehkan bantuan dihantar secepat mungkin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program bantuan itu merupakan nilai tambah kepada program Bantuan Bakul Makanan yang digerakkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak pandemik melanda, bagi membantu mereka yang terkesan tanpa mengira batas kaum dan fahaman politik.

“Di bawah program Bakul Prihatin Negara yang baru digerakkan 15 Julai lalu, lebih 60,000 bakul telah diedarkan yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 isi rumah di seluruh negara.

“Hasrat kerajaan tidak lain adalah untuk menolong rakyat yang terkesan akibat pandemik, justeru marilah kita bersama-sama berusaha memulihkan negara,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya pada Jumaat.

Katanya, di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) sahaja sebanyak 500,000 Bakul Makanan telah diedarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Menurutnya tidak cukup dengan itu, pada 1 Julai lepas, di bawah Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), sejumlah RM66.6 juta diperuntukkan untuk Bantuan Bakul Makanan dengan kadar RM300,000 setiap ahli Parlimen, tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.

Menerusi hantaran itu juga, Muhyiddin memaklumkan, beliau singgah di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar, Johor pada Jumaat untuk menyampaikan sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada 50 penghulu kampung di sekitar Pagoh dan Muar.

Sebanyak 1,000 bakul disediakan untuk diedarkan oleh penghulu bersama-sama sukarelawan Skuad Prihatin Negara kepada masyarakat setempat, di samping barangan basah seperti sayuran, ikan dan ayam segar. - Bernama

Artikel Berkaitan: