Untung RM5 sehari jual kuih

Kisah warga emas itu yang tular di media sosial mendapat perhatian orang ramai.
A
A

BUKIT BERUNTUNG - Meskipun hanya memperoleh untung sekitar RM5 sehari, ia tidak mematahkan semangat seorang warga emas mencari duit belanja harian dengan menjual biskut dan kuih di tepi jalan.

Bapa kepada lima anak itu, Hairuddin Mad Sariff, 73, berkata, gerainya berteduhkan payung usang sumbangan seorang rakan di hadapan stesen minyak dekat Bukit Beruntung sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, dia menjual biskut dan kuih dalam balang berharga antara RM3 hingga RM10 seawal jam 8 pagi hingga 3 petang.

“Dulu saya kerja pengawal keselamatan selama 20 tahun dan terpaksa berhenti kerja atas faktor umur serta kemudian cari tin kosong untuk cari duit belanja.

“Ada seorang kawan buat kuih bahulu cadangkan saya jual kuih dia tapi bila dia dah meninggal dunia, saya beli kuih dan biskut di pasar raya untuk dijual semula.

“Ada juga orang letak kuih kat saya tapi untung tak banyak sebab balang besar yang terjual hanya dapat untung RM1 dan balang kecil, dapatlah 50 sen,”katanya.

Hairuddin berkata, duit keuntungan akan dibelanjakan bagi membeli lauk untuk isteri dan seorang anak orang kelainan upaya (OKU) di rumah di Jalan Anggerik 4B, Bukit Sentosa.

Menurutnya, hasil jualan tidak menentu kerana kadangkala berturut hari tiada kuih yang terjual sehingga memaksa dia menggunakan wang pusingan untuk belanja harian.

“Cukuplah untuk lepas duit belanja hari-hari dan kalau saya tak jual kuih, apa lagi boleh buat sebab umur pun dah 73 tahun.

“Bukan tiap-tiap hari ada orang beli dan paling banyak pun boleh dapat RM10 sehari tapi kalau bulan puasa dekat nak raya, baru ada rezeki lebih.

Menurutnya lagi, setiap hari dia akan berulang-alik dari rumah ke tempat niaga menaiki motosikal yang diberikan anak yang bekerja di bengkel dekat Shah Alam,”katanya.

Hairuddin berkata, selepas kematian isteri pertama yang dikurniakan dua anak, dia mendirikan rumahtangga kedua pada 1980 dan mempunyai tiga anak tiri.

Menurutnya, isterinya, Rokiah Mohammad, 59, tidak bekerja kerana memberi tumpuan penuh terhadap anak bongsu (anak tiri), Hairi Norsaini, 39, yang mengalami masalah terencat akal sejak lahir.

Hairuddin menjual biskut dan kuih bagi mencari duit belanja harian.
Hairuddin menjual biskut dan kuih bagi mencari duit belanja harian.

Terima bantuan JKM dan LZS

“Saya dapat bantuan sebanyak RM250 sebulan dan barang keperluan seperti beras, gula, tepung dan minyak masak daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS)

“Manakala Hairi menerima bantuan OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan dengan duit inilah kami tampung perbelanjaan harian, bil air dan elektrik.

“Nak menyimpan memang tak bolehlah sebab memang cukup makan saja dan ada waktu tak cukup,” katanya.

Hairuddin berkata, sewa rumah dua tingkat yang didiami mereka kini turut dibiayai pihak zakat dengan bayaran RM550 sebulan.

Apabila ditanya mengenai bentuk bantuan yang diperlukan pada masa sekarang, Hairuddin menyatakan hasrat untuk memiliki sebuah motosikal roda tiga.

“Dulu saya ada mohon tapi tak lulus sebab tidak ramai orang yang perlukan motosikal roda tiga sebaliknya agensi terbabit tawarkan lori makanan.

“Saya cuma ada lesen motosikal dan tak mampu nak berniaga guna lori, lagi pun berniaga nak cari duit belanja harian saja.

“Kalau ada motosikal roda tiga, senanglah sikit nak angkut barang dari rumah dan mudah jual kuih atas motosikal itu,”katanya.

Anak istimewa

Sementara itu, Rokiah berkata, empat anak sudah berumah tangga manakala anak bongsu (Hairi) berkelakuan seperti kanak-kanak walaupun sudah berusia 39 tahun.

Menurutnya, Hairi mampu untuk menguruskan diri termasuk ke tandas namun tidak berupaya bertutur seperti insan biasa.

“Kalau kita cakap, dia faham cuma tak boleh bercakap dan suka melakar apa yang dilihat di televisyen di atas kertas.

“Pen memang sentiasa ada dengan dia dan akan kutip apa saja kertas untuk lukis tapi kadangkala dia akan koyak kertas itu.

“Walaupun keadaannya tidak sempurna, dia mudah diuruskan dan rajin bantu saya kemas rumah dan siram pokok bunga,”katanya.

Rokiah berkata, anak lain tidak mengabaikan mereka dan seorang anak perempuan yang tinggal berdekatan juga sering menjenguk serta membawa makanan.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun RHB 16213900071720 (Hairuddin Md Sarif)

#huluselangor #bukitberuntung Meskipun hanya memperoleh untung RM5 sehari namun ia tidak mematahkan semangat seorang warga emas mencari duit belanja harian dengan menjual biskut dan kuih di tepi jalan. [ARTIKEL PENUH : https://www.sinarharian.com.my/article/15412/EDISI/Selangor-KL/Untung-RM5-sehari-jual-kuih ] Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor MOHD RIDZUAN ABU HASSAN

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Friday, March 1, 2019