X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Berpaut pada bot, pegang erat mayat rakan tengah laut

Bot mangsa pecah selepas dilanggar sebuah bot lain dalam kejadian di perairan antara Pulau Mamutik dan Pulau Sulug awal pagi Khamis.
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki terpaksa berpaut pada bot bersama mayat rakannya selama lebih tiga jam sebelum diselamatkan nelayan selepas bot mereka pecah dilanggar bot lain dalam kejadian di perairan antara Pulau Mamutik dan Pulau Sulug di sini awal pagi Khamis.

Edhar Ahali, 35, terpaksa memegang erat mayat rakannya, Abdul Hasyim Onong, 35, bagi mengelak daripada hanyut dibawa arus dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan mendapati bot mereka dilanggar dari arah belakang oleh sebuah bot lain hingga pecah pada bahagian belakang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai memancing.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laut manakala bot yang melanggar terus melarikan diri.

"Mangsa yang cedera berpaut di tepi bot sambil menarik badan rakannya yang sudah meninggal dunia sebelum diselamatkan oleh beberapa nelayan kira-kira jam 6 pagi," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Bot suspek berjaya dirampas polis.
Bot suspek berjaya dirampas polis.

Katanya lagi, seorang mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi cedera.

"Mangsa dan rakannya yang meninggal dunia kemudian dibawa pulang ke rumah mereka. Mangsa yang selamat turut menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.

"Mangsa yang meninggal dunia kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Menurut Mohd Zaidi, polis sedang mengesan suspek dalam kejadian itu, namun dipercayai sudah melarikan diri.

"Polis kemudian merampas sebuah bot pam bersama enjin yang dipercayai terbabit dalam kes ini untuk tindakan lanjut.

"Usaha untuk mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu mengendalikan perahu dengan gopoh," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!