PPVIN Midlands ditutup sehari

Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam lengang tanpa kehadiran warga asing yang ramai seperti sebelum ini.
Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam lengang tanpa kehadiran warga asing yang ramai seperti sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 ditutup pada Jumaat bagi penyelarasan penugasan dalam memastikan kelancaran operasi pusat tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penutupan tersebut diputuskan pihak pengurusan vaksin berkenaan.

"Kita dimaklumkan PPVIN ini akan ditutup selama sehari untuk selaraskan penugasan dan kehadiran pekerja industri bagi menerima suntikan vaksin," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Baharudin berkata, pemantauan sentiasa dijalankan pihaknya di setiap PPV di kawasan Shah Alam.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati keadaan di sekitar PPVIN di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, di sini lengang tanpa kehadiran warga asing yang ramai seperti sebelum ini.

Turut kelihatan beberapa kenderaan pihak berkuasa di lokasi PPVIN ini.

Pada Khamis, tular video di media sosial memaparkan keadaan sesak di PPVIN di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 yang dibanjiri warga asing.

Difahamkan kesesakan tersebut berlaku berpunca daripada tindakan pekerja asing yang hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.

Artikel Berkaitan: