31 ahli Parlimen UMNO, BN terus sokong PN dan Muhyiddin

Ismail Sabri ketika bercakap dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ismail Sabri ketika bercakap dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 31 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional tidak akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, mereka berpendirian untuk menjunjung titih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbiran.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda telah berkenan agar keabsahan kerajaan PN ditentukan di Parlimen dengan satu usul percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat nanti.

“Jadi jelas bahawa Seri Paduka Baginda mahu Parlimen diadakan dan penentuan untuk sama ada kerajaan hari ini boleh berfungsi selepas September.

“Ini jelas pihak Istana Negara tidak lagi menerima surat akaun SD atau pun surat-surat sokongan,” katanya dalam sidang akhbar bersama 21 ahli Parlimen UMNO dan BN di sini pada Jumaat.

Seramai 10 lagi ahli Parlimen yang lain tidak dapat menghadiri sidang akhbar itu tetapi tetap menyatakan pendirian sama.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan di luar Parlimen boleh dianggap sebagai menderhaka kerana melanggar hasrat dan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak timbul isu ahli Parlimen derhaka tetapi sebaliknya kepada pihak yang melanggar titah Seri Paduka Baginda,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghantar surat akuan tambahan ahli Parlimen parti itu menarik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin dilihat bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, tindakan meninggalkan PN secara tergesa-gesa dan menumbangkan kerajaan sedia ada ketika ancaman Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab.

Ismail Sabri turut mengingatkan semua pemimpin UMNO supaya tidak mengambil tindakan yang boleh merugikan parti dan membebankan rakyat.