Mampukah kerajaan Perak bertahan?

Sidang DUN Perak -Foto Bernama
Sidang DUN Perak -Foto Bernama
A
A
A

KACAU-bilau politik yang berlaku di peringkat pusat mencetuskan kegusaran pentadbiran di beberapa kerajaan negeri, khususnya melibatkan gabungan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Perak adalah antara negeri yang menjadi tumpuan kerana kedudukan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar amat bergantung kepada sokongan Bersatu dan Pas bagi membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir.

UMNO yang hanya memiliki 25 kerusi bergabung dengan enam kerusi Bersatu dan tiga kerusi lagi daripada Pas, menjadikan kesemua 34 kerusi lebih daripada cukup untuk membentuk kerajaan.

Persoalannya, mampukah kerajaan PN di Perak kekal di sebalik penarikan sokongan beberapa ahli Parlimen UMNO di peringkat pusat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembangkang melihat apa yang berlaku di peringkat pusat sedikit sebanyak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri pimpinan PN seperti mana kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pada Rabu.

Bukan sahaja Ahli Parlimen Teluk Intan itu melihat perubahan akan berlaku tetapi ramai juga beranggapan kemungkinan kerajaan Perak tumbang lagi kerana Bersatu akan menarik sokongan terhadap Saarani sebagai ‘balas dendam’ dengan apa yang berlaku di peringkat pusat.

Jika disingkap kembali sejarah krisis politik di Perak, kejatuhan kerajaan seolah-olah sinonim dengan negeri itu, malah dalam penggal ini sahaja tiga menteri besar dilantik dalam masa empat tahun.

Malah, peringatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertitah ketika Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak ke-14 pada 10 Disember 2020 menyifatkan lantikan tiga kali menteri besar sebagai cerminan kegagalan.

Artikel Berkaitan:

Maka, berpegang kepada nasihat Sultan Nazrin, PN Perak pastinya memikirkan implikasi besar jika mereka bertindak mahu meruntuhkan kerajaan negeri sekali lagi.

Kenyataan Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin pada Khamis menjelaskan segala-galanya apabila menyatakan gabungan berkenaan masih kekal bersama UMNO mempertahankan kerajaan negeri.

Sejak Saarani mengambil alih pentadbiran kerajaan Perak tahun lalu, jentera pentadbiran dilihat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan besar sama ada dalam kerajaan mahupun daripada pihak pembangkang.

Tiada tekanan kuat mahupun hentaman keterlaluan diterima Pengerusi UMNO Perak itu dalam menjalankan tugas. Berbanding Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika bersama Pakatan Harapan (PH) mahupun PN semasa menjadi Menteri Besar Perak yang menerima pelbagai kritikan sama ada daripada kalangan rakan komponen mahupun pembangkang

Kesediaan mendengar pandangan semua pihak, selain memberi hak sama rata seperti peruntukan kewangan dan penglibatan dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak meletakkan Saarani dalam kelasnya tersendiri.

Selain itu, kebanyakan lawatan Saarani dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini, akan ada kelibat ADUN pembangkang yang turut serta mengiringinya.

Kritikan-kritikan oleh pembangkang terhadap kerajaan pula lebih tertumpu kepada usaha mengawal penularan Covid-19 dan meningkatkan segera kadar vaksinasi rakyat Perak, berbanding ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Jika PN Perak berkira-kira mahu menarik diri daripada bekerjasama dengan UMNO bagi meruntuhkan kerajaan negeri, tidak mustahil untuk PH menyokong Saarani mengekalkan jawatan tersebut berdasarkan kerjasama baik yang diberikan ketika ini.

Situasi yang berlaku di Perak dilihat cuba untuk diimplementasikan di peringkat pusat, namun percaturan itu agar sukar dilaksanakan.

Sama ada wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang di Perak, mereka dilihat lebih cenderung kepada usaha memastikan penduduk segera mencapai imuniti kelompok, seterusnya ke fasa berikutnya.

Malah, mesyuarat mingguan Exco yang berlangsung sehari selepas pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjalan dalam keadaan harmoni.

Apa yang pasti, sebenarnya bukan sahaja kerajaan Perak mampu bertahan tetapi Saarani juga boleh terus kekal sebagai Menteri Besar sehingga habis penggal.

* Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Perak