6 sahabat sedia platform niaga dalam permainan video

Muhammad Abdullah bersama lima rakannya di Kuala Nerus membangunkan platform percuma bagi jualan produk di dalam permainan video.
Muhammad Abdullah bersama lima rakannya di Kuala Nerus membangunkan platform percuma bagi jualan produk di dalam permainan video.
A
A
A

KUALA NERUS - Kesukaran menjalankan perniagaan dalam tempoh pandemik Covid-19 memberi ilham kepada enam sahabat membangunkan platform percuma bagi jualan produk di dalam permainan video.

Muhammad Abdullah Yusof, 22, berkata, dia mula membangunkan pelayan komputer atau server berkenaan bersama lima lagi rakannya pada Jun lalu.

Menurutnya, pelayan komputer 'gaming roleplay' yang dicipta khusus untuk dua platform iaitu perniagaan secara virtual dan permainan 'roleplay'.

Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Che Lah berkata, cetusan idea itu direalisasikan memandangkan situasi semasa pandemik menyebabkan ramai yang tertekan kerana tidak dapat menjalankan rutin harian seperti biasa, seterusnya merencatkan urusan termasuk perniagaan.

Muhammad Abdullah
Muhammad Abdullah

"Kita semua tahu, sekarang ramai yang duduk di rumah dan tak tahu nak buat apa-apa. Ada antaranya boleh mengganggu mental, sekali gus menyebabkan masalah kemurungan sekiranya keadaan terus berpanjangan.

"Jadi, saya hasilkan server ini bagi membolehkan orang ramai mencari pendapatan sampingan selain mencuba permainan video yang disediakan," katanya di sini pada Khamis.

Muhammad Abdullah berkata, pelayan komputer itu dikendalikan pembangun server Denzox (Shahrolnizam) dan dia sendiri yang menggunakan nama Kapitan Sardine (Che lah).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelayan komputer yang diperkenalkan melalui media sosial Facebook dengan nama aseancommunityroleplay itu boleh dilayari menerusi komputer atau telefon pintar.

"Server ini terbuka kepada semua tanpa apa-apa bayaran untuk promosi dan keutamaan diberi kepada peniaga dalam talian yang ingin mencari rezeki di dalam server kami secara virtual tanpa rasa ragu.

"Mereka yang boleh mendapatkan perkhidmatan ini hanya perlu mempunyai komputer 'gaming' atau peranti yang boleh menyokong permainan FiveM atau San Andreas Multiplayer (samp)," ujarnya.

Tambah beliau, jika ada yang berminat, boleh terus menghubungi e-mel mereka iaitu peniaga@aseancommunityroleplay.com," katanya.