X

Kindly register in order to view this article
!

Agrobank, usahawan PKS bantu komuniti terkesan Covid-19

Wakil Agrobank (kiri) memberikan kotak makanan kepada salah seorang penerima di Rasa, Hulu Selangor.
A
A

AGROBANK menjalankan inisiatif Agrobank dan Komuniti dengan kerjasama beberapa usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bank terbabit.

Menerusi program berkenaan, mereka mengedarkan kotak makanan kepada 1,600 penerima yang memerlukan di seluruh negara merangkumi kesemua lapan wilayah di bawah Agrobank.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, inisiatif itu dilaksanakan untuk membantu komuniti yang terjejas dan memerlukan bantuan serta sokongan dari segi keperluan asas makanan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Menurutnya, pihaknya mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan usahawan PKS Agrobank menerusi inisiatif Agrobank dan Komuniti yang memberi manfaat kepada 1,600 penerima di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM100,000.

“Agrobank cakna dan prihatin akan masalah dihadapi oleh segelintir masyarakat ketika tempoh penularan pandemik ini seperti hilang punca pendapatan atau pendapatan berkurang disebabkan potongan gaji oleh majikan dan menyedari situasi itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu, katanya, Agrobank dapat membantu usahawan PKS meneruskan kesinambungan perniagaan apabila bank berkenaan membeli hasil pengeluaran mereka bagi tujuan inisiatif tersebut.

“Usahawan terlibat juga berpeluang untuk turut sama menyumbang sedikit hasil jualan perniagaan mengikut kemampuan mereka kepada golongan yang memerlukan ketika waktu sukar seperti sekarang ini,” katanya.

Wakil Agrobank (kanan) menyampaikan sumbagan kepada salah seorang penerima (dua dari kanan) di Kampung Alor Ladang, Beserah, Kuantan.
Wakil Agrobank (kanan) menyampaikan sumbagan kepada salah seorang penerima (dua dari kanan) di Kampung Alor Ladang, Beserah, Kuantan.

Khatijah berkata, sumbangan yang diberikan kepada penerima merupakan bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung dan lain-lain.

Sementara itu, Khatijah berkata, sebanyak 7,000 barangan cenderahati dan korporat eksklusif Agrobank dengan nilai keseluruhan berjumlah RM43,000 turut diedarkan kepada penerima vaksin di lima lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar Lembah Klang sepanjang Julai lalu.

“Inisiatif itu adalah sebahagian usaha Agrobank untuk menghargai komitmen yang diberikan penerima vaksin untuk hadir ke sesi janji temu vaksin mereka di PPV terbabit dan menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), seterusnya menyumbang kepada pembentukan imuniti kelompok di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, edaran barangan cenderahati dan korporat eksklusif Agrobank itu telah dilakukan di lima PPV iaitu PPV Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Melaka, PPV Axiata di Bukit Jalil, PPV Bergerak di PPR Seri Sarawak, PPV Bergerak di PPR Seri Kota dan PPV di Kampung Malaysia Tambahan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!