Exco Armada Nasional bantu keperluan 20 surau

A
A
A

Muhammad Saiful (dua, kiri) menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM500 kepada Pengerusi Surau Flat Jalan Serantau.
Muhammad Saiful (dua, kiri) menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM500 kepada Pengerusi Surau Flat Jalan Serantau.



JOHOR BAHRU – Susulan pengehadan jumlah solat berjemaah di surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan surau berdepan isu kewangan berikutan kurangnya sumbangan derma daripada orang ramai.

Atas kesedaran untuk membantu perkembangan syiar Islam setempat, Armada Nasional mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan tunai dan barangan keperluan kepada 20 surau di sekitar bandaraya berkenaan.

Menurut Exco Armada Nasional, Muhammad Saiful Bahari Sahari, bantuan tunai berjumlah RM500 dan barangan keperluan harian untuk setiap surau itu disampaikan bagi membantu pihak pengurusan surau meringkan beban kewangan mereka.

“Kita faham bila jumlah jemaah solat di surau terhad, maka kutipan daripada tabung sedekah surau juga turut berkurangan.

“Sedangkan setiap surau memerlukan pembiayaan kewangan setiap bulan untuk membayar bil utiliti dan urusan lain-lain.

“Oleh itu, Armada Johor Bahru amat prihatin dengan keperluan setiap surau dan sebab itulah kami turun padang menghulurkan bantuan sekadar termampu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan Surau Kampung Setanggi juga turut menerima sumbangan tunai daripada Muhammad Saifu.
Pengurusan Surau Kampung Setanggi juga turut menerima sumbangan tunai daripada Muhammad Saifu.

Jelas beliau lagi, dengan bantuan wang tunai sebanyak RM500 itu, sekurang-kurangnya dapat menampung sumber kewangan surau untuk membayar bil elektrik, air dan sebagainya.

“Armada mengambil maklum setiap masalah yang dihadapi oleh institusi agama setempat akibat daripada pandemik Covid-19 dan PKP ini.

“Jadi sebagai anak tempatan dan ahli kariah, saya cuba sedaya upaya untuk mengusahakan sumbangan bagi memastikan surau-surau berkenaan terus dapat ditadbir dengan baik,” katanya.

Ujar Saiful, Armada Nasional sentiasa prihatin dengan segala kemelut dan kesempitan yang dihadapi rakyat di Johor akibat wabak Covid-19 serta berusaha membantu meringankan beban mereka.

“Dari semasa ke semasa kami sentiasa melakukan kerja amal dan usaha kebajikan bagi memastikan nasib segenap lapisan masyarakat di sekitar Johor Bahru terbela.

“Kami lakukan mengikut kemampuan dan bantuan yang dihulurkan tanpa mengira batasan agama, kaum dan ideologi politik,” katanya.