X

Kindly register in order to view this article
!

PN Kedah gesa polis siasat Presiden UMNO

Khairul Anuar menunjukkan laporan polis yang dibuatnya terhadap Ahmad Zahid di Balai Polis Kulim Hi-Tech pada petang Rabu.
A
A

KULIM - Perikatan Nasional (PN) Kedah gesa polis menyiasat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mempunyai niat memperdayakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung sokongan sebenar Ahli Parlimen daripada parti tersebut terhadap kerajaan hari ini.

Ketua Penerangan PN Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan pada pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada pagi Rabu, Seri Paduka Baginda memaklumkan sebanyak lapan ahli Parlimen UMNO menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.

Menurutnya, perkara tersebut bertentangan dengan kenyataan Ahmad Zahid pada sidang akhbarnya pada Selasa bahawa terdapat 12 ahli Parlimen dari parti tersebut yang menarik sokongan.

"Kenyataan Presiden UMNO itu dilihat berniat jahat dan mempunyai agenda tertentu untuk menipu Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia.

"Tindak-tanduk beliau boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan seterusnya mendatangkan kemudaratan kepada negara," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kulim Hi-Tech pada petang Rabu.

Tambah beliau, laporan tersebut dilakukan selepas beliau menonton sidang media khas Perdana Menteri berhubung situasi terkini politik negara pada jam lebih kurang 12.30 tengahari pada Rabu.

Khairul Anuar berkata, beliau memohon polis menyiasat Ahmad Zahid di bawah Seksyen 124B, Seksyen 126C dan Seksyen 25 Kanun Keseksaan kerana telah melanggar undang-undang negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!