FIFA gantung Mbaga seumur hidup sebagai pengadil

No Image Caption
A
A
A

ZURICH, SWITZERLAND. Pengadil, Oden Charles Mbaga digantung seumur hidup dan dikenakan denda 200,000 Swiss Francs (RM812,712) selepas didapati bersalah menerima rasuah bagi memanipulasi perlawanan bola sepak.

Menerusi laporan Reuters, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkata dalam satu kenyataan bahawa jawatankuasa etika tersebut mendapati Mbaga bersalah menerima rasuah itu yang melanggar kod etika FIFA selepas penyiasatan dilakukan bermula Julai lalu.

Dalam satu email kepada Reuters, FIFA berkata Mbaga “menerima rasuah untuk memanipulasi beberapa perlawanan tempatan dan antarabangsa di antara 2009 dan 2012.”

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan perlawanan yang terbabit.

Mbaga memberitahu Reuters di Dar es Salaam yang beliau disoal oleh FIFA pada 2010 tetapi tidak menerima sebarang makluman sejak itu dan tidak tahu tentang kes mengatur perlawanan berkenaan.

“Ini adalah berita mengejutkan buat saya. Saya tak tahu langsung mengenai saya digantung daripada aktiviti bola sepak untuk seumur hidup. Saya memang langsung tidak tahu tentang ini,” katanya.

“Saya tahu FIFA melakukan penyiasatan dan kali terakhir mereka menemuramah saya tentang isu pada 2010. Saya memberitahu mereka secara terbuka saya tahu tentang mengatur perlawanan dan saya tak pernah mendengar daripada mereka sejak itu.

“Buat masa ini, saya tak boleh kata apa-apa kerana saya tak dapat maklumat jelas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

FIFA menggambarkan Mbaga sebagai “pengadil yang dikaitkan dengan Persekutuan Bola Sepak Tanzania”.