Had paras harga runcit bagi petrol RON95 kini RM2.08 seliter

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Selaras dengan komitmen kerajaan PH untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan had paras harga runcit bagi petrol RON95 dikurangkan daripada RM2.20 kepada RM2.08 seliter.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, inisiatif itu diambil bagi melindungi pengguna daripada mendapat kesan ketara apabila harga minyak dunia meningkat nanti.

“Berdasarkan trend harga sebenar pasaran produk petroleum yang semakin meningkat pada masa ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Februari 2019 telah bersetuju supaya had pengekalan harga runcit petrol RON95 yang pada masa ini ditetapkan pada paras RM2.20 seliter dikurangkan kepada RM2.08 seliter.

“Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.

“Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras tersebut, harga

mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bermula 1 Januari lalu, kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit

produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Artikel Berkaitan:

Melalui kaedah mingguan ini, harga runcit produk petroleum akan diturunkan apabila harga minyak dunia turun tetapi apabila harga minyak dunia naik, kenaikan harga runcit produk petroleum akan dihadkan pada RM2.20 bagi produk petrol RON95 dan RM2.18 bagi diesel.

Penetapan harga runcit RON95, RON97 dan diesel dibuat berdasarkan pengiraan Automatic Price Mechanism (APM) akan terus diumumkan secara mingguan.