Beri bayangan tarik sokongan, PN Johor mungkin tumbang

Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor hanya akan dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri selepas menerima arahan daripada pucuk pimpinan pusat.

ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, tindakan menarik sokongan itu berkemungkinan besar dilakukan susulan keputusan UMNO pada petang Selasa yang memutuskan untuk menarik sokongan kepada PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, tindakan UMNO itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan PN di Johor hasil gabungan Barisan Nasional (BN), Bersatu dan Pas telah tumbang.

"Memanglah kalau dari segi hakikatnya UMNO sudah tarik sokongan daripada PN, maka PN di Johor yang diketuai UMNO sudah jatuh. Itu bererti Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad juga perlu letak jawatan. Apabila PN tiada majoriti maka secara automatik jawatan beliau itu gugur.

"Bersatu Johor menantikan keputusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada terdapat keperluan bagi 12 ADUN Bersatu juga menarik sokongan di Johor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Osman yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat menerajui kerajaan negeri kerana tidak memiliki jumlah kerusi dua pertiga.

"PH Johor terdiri daripada Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya memiliki 27 kerusi. PH perlu ada dua atau tiga kerusi lagi untuk cukupkan jumlah dua pertiga.

"Sekiranya terdapat ADUN mengisytiharkan sebagai menjadi bebas dan sokong PH, maka PH akan bentuk kerajaan. Tetapi perlu diingat di Johor, kita tidak boleh ketepikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan perlu titah perkenan sebelum sebarang tindakan dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Besar itu menjelaskan Johor cukup unik meskipun berpandukan keputusan di peringkat persekutuan, namun Sultan Johor masih mempunyai kata pemutus berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Apa-apa pun kita di Johor perlu tunggu titah Sultan Ibrahim. Bagi saya, itu sahaja kesimpulan yang dapat dibuat kerana belum dapat sebarang arahan dan maklumat sahih berhubung situasi politik sekarang," katanya.

Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkini iaitu UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu), manakala Parti Amanah Negara (sembilan) serta Parti Keadilan Rakyat (empat).

Kerajaan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang mendapat sokongan dari UMNO, Bersatu, MIC dan Pas memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang PH yang disertai DAP, Amanah dan PKR.