UMNO perlu jadi 'ketua' dalam penstrukturan baharu kerajaan

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.
A
A
A

KLUANG - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan gabungan bersama-sama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu distruktur semula dengan meletakkan UMNO dan BN sebagai ketua kerajaan.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, ini termasuk menguruskan kementerian yang penting untuk menggerakkan semula sistem ekonomi dan memperbaiki sistem sosial rakyat.

Menurut beliau, UMNO dan BN merupakan parti yang mempunyai ahli paling ramai serta jentera yang paling tersusun khususnya di Semenanjung dan Sabah berbanding jentera parti lain dalam kerajaan gabungan BN, PN dan GPS.

"Jentera UMNO dan BN mampu membantu mengupayakan 'delivery system' kerajaan. Oleh itu, saya menyeru kepimpinan PN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas supaya berbesar untuk melihat kemaslahatan umat dan rakyat sebagai keutamaan dalam pentadbiran negara.

"Begitu juga rendah hati untuk meletakkan kepimpinan UMNO sebagai ketua kerajaan bagi meneruskan kesinambungan politik negara kerana tidak dapat dinafikan bahawa kepimpinan UMNO memang berpengalaman dalam menguruskan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Md Jais berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Selasa mengadakan mesyuarat untuk menentukan hala tuju politik yang seterusnya dan UMNO Bahagian Kluang menyarankan supaya parti memilih jalan yang tertib untuk menguruskan kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara.

Menurutnya, UMNO perlu membawa keluar konotasi 'kerajaan gagal' dalam minda rakyat dengan menstrukturkan semula kerajaan iaitu melalui keputusan MKT pada 7 Julai lalu dan dalam masa yang sama menunjukkan tauladan yang baik serta kebijaksanaan dengan rakan perkongsian.

Katanya, UMNO perlu meletakkan diri pada kedudukan yang mempunyai kelebihan dalam menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Kalau pada peringkat pembentukan kerajaan gabungan ini UMNO hadir sebagai pelengkap, maka dalam penstrukturan semula ini, UMNO seharusnya menjadi penentu kerana kesemua parti komponen dalam PN sudah pasti tidak bersedia untuk menjadi pembangkang.

"UMNO perlu memastikan semua ahlinya, termasuk ahli-ahli Parlimen dan seluruh kepimpinan parti akur terhadap keputusan dan disiplin parti. Ahli MKT yang juga mengandungi wakil parti dalam kerajaan sedia ada merupakan 'Kabinet' yang menentukan dasar dan hala tuju parti, selain Perhimpunan Agung UMNO (PAU)," katanya.