X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Malaysia kemuka NDC kurangkan intensiti pelepasan GHG

Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia telah mengemas kini sasaran dalam pelan tindakan perubahan iklimnya dengan mengemukakan Nationally Determined Contributions (NDC) untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) tanpa syarat sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia pada 2015 telah mengemukakan Intended Nationally Determined Contribution (INDC) dengan hasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus menjelang 2030, dengan 35 peratus dilaksanakan tanpa syarat manakala baki 10 peratus adalah bersyarat.

"Sasaran NDC tanpa syarat telah dinaikkan daripada 35 peratus kepada 45 peratus, peningkatan 10 peratus daripada sasaran INDC pada tahun 2015," katanya.

Beliau menambah, sasaran kemaskini NDC Malaysia itu telah diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Julai lepas.

Menurutnya, pelaksanaan INDC yang dikemukakan pada 2015 itu dengan 35 peratus tanpa syarat manakala baki 10 peratus lagi pula bersyarat, adalah tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti dari negara maju.

Berucap secara maya pada Majlis e-Kolokium Perubahan Iklim 2021 dan Pelancaran Laporan Malaysia’s Third Biennial Update Report (BUR) kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) pada Selasa, Tuan Ibrahim berkata, kemas kini NDC itu juga mengambil kira skop tujuh jenis gas rumah kaca berbanding tiga jenis sahaja sebelum ini.

"Sasaran NDC akan dicapai menerusi pelbagai tindakan mitigasi perubahan iklim dalam negara dan tidak melibatkan pembelian kredit karbon dari luar negara," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, sasaran tanpa syarat itu tidak akan menjejaskan keupayaan negara untuk terus menerima bantuan kewangan, teknikal dan pertukaran teknologi dari sumber-sumber antarabangsa kerana status negara di bawah UNFCCC sebagai sebuah negara di bawah Non-Annex I Parties.

"Sasaran yang meletakkan elemen environmental integrity akan menarik perhatian negara-negara maju untuk membantu negara-negara membangun dan berimej progresif dalam menangani agenda perubahan iklim," katanya.

Beliau berkata, fokus utama jangka masa panjang kerajaan adalah mengurangkan pelepasan GHG di setiap sektor ekonomi melalui pelaksanaan dasar-dasar berkaitan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.

"Komitmen Malaysia terhadap perubahan iklim juga diterjemahkan menerusi rangka kerja institusi yang komprehensif iaitu melalui penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC)," katanya.

Berdasarkan keputusan mesyuarat MyCAC pertama yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, katanya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang melaksanakan pelbagai program dan tindakan mengenai perubahan iklim antaranya membangunkan Pusat GHG Kebangsaan.

Inisiatif lain termasuk menyemak semula Dasar Perubahan Iklim Negara 2009, merangka Undang-undang Perubahan Iklim Negara; membangunkan Mekanisme Pasaran Karbon Negara; membangunkan NDC Roadmap dan membangunkan strategi pengurangan Pelepasan GHG Jangka Masa Panjang (Long Term Long Emission Development Strategies atau LT-LEDS), katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!