Himpunan Keluar dan #Lawan: 10 termasuk Tian Chua diambil keterangan

Kesemua yang dipanggil pihak polis keluar selepas selesai dirakam percakapan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar jam 2 petang Selasa. - FOTO: ABD HALIM WAHID
Kesemua yang dipanggil pihak polis keluar selepas selesai dirakam percakapan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar jam 2 petang Selasa. - FOTO: ABD HALIM WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - 10 individu termasuk empat pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara pada Sabtu.

Kesemua mereka hadir bersama peguam untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 12 tengah hari pada Selasa sebelum keluar sekitar jam 2 petang.

Tian Chua berkata, beliau bersolidariti bersama dengan anak-anak muda yang berani untuk bertindak demi mengubah nasib mereka walaupun terpaksa membahayakan diri.

“Apabila Parlimen ditutup, rakyat tidak ada saluran untuk menyuarakan pandangan mereka, tidak boleh membincangkan masalah negara.

“Saya bersama dalam perhimpunan itu untuk menunjukkan solidariti. Inilah anak muda yang kita mahu, walaupun ambil risiko namun mereka prihatin dengan nasib negara,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi pada Selasa.

Tian Chua - FOTO: ABD HALIM WAHID
Tian Chua - FOTO: ABD HALIM WAHID

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis akan panggil individu, ahli Parlimen terlibat himpunan

Sementara itu, Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard semasa perhimpunan itu berlangsung.

“Ramai lagi yang akan disiasat selepas ini, kerana di dalam itu polis menunjukkan gambar lebih daripada 30 individu yang mungkin akan dipanggil. Yang sudah dipanggil lebih kurang 20 orang,” katanya.

Antara dipanggil adalah Naib Presiden Muda, Dr Thanussha Francis Xavier, Ahli Jawatankuasa (AJK) Muda, Dr Teo Lee Ken dan Dr Mathen Nair.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa pihak polis sudah mengenal pasti dan akan memanggil 29 individu yang dipercayai terlibat dengan perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima lebih daripada 20 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang membantah penganjuran perhimpunan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan baju hitam penuhi sekitar Dataran Merdeka