X

Kindly register in order to view this article
!

Tangisan bangga Nur Dhabitah

Nur Dhabitah bangga dengan pencapaiannya di Tokyo. - Foto Bernama
A
A

ATLET terjun negara, Nur Dhabitah Sabri menafikan tangisannya di Tokyo Aquatics Centre setelah aksi final acara tiga meter papan anjal individu wanita pada Ahad adalah disebabkan kegagalannya menambah pingat buat negara.

Menurut atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 22 tahun itu, tangisan berkenaan secara keseluruhannya adalah bagi menggambarkan rasa bangga dengan pencapaian diri sendiri terutamanya di sebalik pengorbanan yang dilaluinya untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya menangis bukan kerana tak menang (pingat) tapi berbangga dengan diri kerana sebelum ini agak susah hingga saya hilang keyakinan diri dan tidak yakin mampu beraksi di Olimpik.

"Malah, sebelum ke Olimpik Tokyo juga tidak pasti dengan diri namun dapat tempat keempat sememangnya bangga dengan diri.

"Kita sudah tidak hidup seperti dahulu dengan tak boleh luang masa bersama keluarga atau keluar berjumpa rakan. Hanya duduk dalam gelembung sukan dan berlatih saja," katanya.

Pada aksi final berkenaan, Dhabitah mengumpul 326.15 mata di belakang atlet terjun Amerika Syarikat (AS), Krysta Palmer yang mencatatkan 343.75 mata bagi meraih gangsa.

Catatan 326.15 yang dicatatkan Dhabitah pada aksi final berkenaan berjaya mengatasi catatan 312.60 mata pada aksi separuh akhir, pada Sabtu, sekali gus turut mengatasi 291.60 mata yang dicatatkan pada aksi kelayakan pada Jumaat.

Dalam pada itu, atlet terjun China, Shi Tingmao menepati ramalan untuk meraih emas bagi acara berkenaan setelah mencatatkan 383.50 mata, manakala rakan senegara, Wan Han meraih perak dengan catatan 348.75 mata.

Mengulas mengenai persembahannya Dhabitah berkata, dia hanya memberikan fokus untuk mempamerkan aksi terbaik pada acara final berkenaan, dan tidak memikirkan mengenai perkara lain.

Malah katanya, dia mengharapkan peminat sukan tanah air terhibur dengan aksinya.

“Apa yang saya fikirkan adalah untuk ‘enjoy’ dengan terjunan dan buat yang terbaik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencapaian Nur Dhabitah patut dibanggakan

Harapan pingat acara papan anjal wanita tidak kesampaian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!