X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah nafi wujud ratusan kilang kitar semula

Robert menunjukkan jumlah aduan berkaitan pencemaran yang menurun di beberapa daerah di Kedah.
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri Kedah menafikan dakwaan terdapat ratusan kilang kitar semula yang membakar sisa serta tidak boleh dikitar semula.

Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ei berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti kira-kira 20 buah kilang haram telah ditutup sejak setahun lalu.

Menurut beliau, dasar kerajaan negeri bawah pentadbiran baharu telah menetapkan bahawa industri kitar semula plastik akan dipusatkan di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau dalam masa dua tahun selepas lengkap pembangunan infra.

"Usaha ini bagi mengawal dan membawa keluar industri ini dari kawasan bandar Sungai Petani," katanya kepada media di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada Ahad.

Hadir sama, Yang Dipertua MPSPK, Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Norazizi Adinan dan Ketua Cawangan Jas Sungai Petani, Ya Mohammad Nazir Syah Ismail.

Beliau berkata demikian mengulas artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal bertarikh 29 Julai 2021 yang mendakwa terdapatnya ratusan kilang kitar semula yang menyebabkan pencemaran di Sungai Petani.

Robert berkata, MPSPK menerima tiga permohonan dari industri kitar semula yang juga telah mendapat kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Kilang plastik kitar semula haram juga telah banyak ditutup kira-kira 20 buah sejak setahun yang lalu hasil dari dasar kerajaan ini dan ia terkawal.

"Hanya tinggal satu kilang kitar semula yang mempunyai permit import (AP) dan satu penggunaan plastik tempatan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri Kedah juga menafikan dakwaan bahawa sebuah kilang berasaskan kayu bersebelahan sebuah pasar raya melepaskan asap hitam yang teruk setiap hari.

"Kilang yang didakwa tersebut mempunyai sistem kawalan pencemaran udara (SKPU) dan pelepasan asap tersebut direkodkan menggunakan transmisometer mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014," katanya.

Selain itu, ujarnya, indeks pencemaran udara (IPU) di Sungai Petani juga menunjukkan bacaan baik dan sederhana sepanjang tahun.

"Semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda pula mendapati tiada peningkatan kes berkaitan pernafasan seperti yang didakwa termasuk Upper Respiratory Tract Infection (URTI), asma dan conjunctivitis," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, tiada kebakaran yang melibatkan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling yang berlaku dalam tempoh terdekat ini seperti dakwaan terbabit memandangkan tapak itu telah ditutup sejak Mac lalu.

"Sehubungan itu, kita ingin mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan umum di mana kenyataan yang tidak tepat dan tidak berfakta boleh menyebabkan panik serta memberi kesan terhadap pelaburan industri di negeri ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!