UMNO hanya tolak Muhyiddin tetapi tetap bersama PN

Ahmad (kiri) ketika selepas menyampaikan berita secara langsung sempena ulang tahun Sinar Harian ke-15 di sini pada Sabtu.
Ahmad (kiri) ketika selepas menyampaikan berita secara langsung sempena ulang tahun Sinar Harian ke-15 di sini pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan parti itu tidak menolak Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, ketetapan yang dibuat oleh parti itu ialah tidak menyokong lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Tegas beliau, kenyataan bahawa semua 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Muhyiddin adalah tidak tepat.

"Apa yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ialah menarik sokongan kepada Muhyiddin.

“Jadi saya ingin menjelaskan bahawa UMNO tidak menarik sokongan kepada kerajaan campuran PN.

“Oleh itu saya kira ada kesilapan kesefahaman dari kenyataan itu, kerana terdapat dua perkara yang berbeza mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan berita secara langsung sempena ulang tahun Sinar Harian ke-15 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang cadangan sebuah kerajaan interim, Ahmad berkata, buat masa ini UMNO masih mahu meneruskan kerajaan PN memandangkan gabungan tersebut mempunyai majoriti 115 sokongan ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Jadi pada kita, setelah UMNO membuat keputusan dalam Perhimpunan Agong UMNO 2020, iaitu tiada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiada DAP, maka untuk bersama dengan pihak sebelah sana adalah satu perkara yang tidak akan berlaku,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berpendapat, saranan penubuhan kerajaan interim bukan kekal sehingga tahun 2023, sebaliknya ia akan wujud sehingga negara mencapai immuniti kelompok.

Menurutnya, kerajaan boleh mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih parti sesuai selepas dua bulan daripada tempoh immuniti kelompok tersebut.

“Maksudnya kerajaan interim itu bukan sehingga 2023, tetapi kerajaan itu ialah sehingga kita mendapat immuniti kelompok.

“Selepas kita capai immuniti kelompok iaitu 80 peratus rakyat divaksinasi, maka kita boleh kembalikan mandat kepada rakyat dalam tempoh dua bulan selepas itu.

“Katakan jika immuniti kelompok dicapai pada bulan November tahun ini, maka tempoh dua bulan iaitu pada Januari 2022 boleh diadakan pilihan raya dan kita serahkan kembali kepada rakyat,” menurutnya.

Untuk rekod, BN mempunyai 42 Ahli Parlimen yang terdiri 38 UMNO, dua daripada MCA, seorang MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).