X

Kindly register in order to view this article
!

Kesatuan Eropah boikot minyak sawit hanya retorik

Mohd Khairuddin (kanan) bersama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak (kiri) menyusun barangan sempena pelancaran kiosk Amal Kongsi Rezeki di Sabasun Hyperuncit Wakaf Tembesu, di Kuala Nerus, pada Sabtu.
A
A

KUALA NERUS - Usaha Kesatuan Eropah (EU) memboikot minyak sawit keluaran negara ini hanya retorik sedangkan permintaan terhadap sumber keperluan itu kini semakin meningkat.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, keputusan beberapa negara Eropah menolak minyak sawit negara tidak menjejaskan eksport produk itu yang kini berjumlah 20 juta tan sehari.

"EU tidak mungkin dapat pisahkan diri daripada menggunakan minyak sawit. Mereka cuba halang penggunaan sawit di peringkat biodiesel sahaja namun mereka tidak boleh halang minyak sawit diguna dalam kehidupan seharian.

"Mana ada produk, pencuci atau makanan tidak guna sawit, kebanyakannya mengandungi minyak sawit. Jadi, minyak sawit tak dapat dipisahkan daripada kegunaan masa kini.

"Saya cabar mana-mana negara yang sanggup memisahkan diri dari sawit tolong ambil minyak lain yang lebih mahal berbanding minyak sawit yang murah dan berkhasiat," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kiosk Amal Kongsi Rezeki di sini pada Sabtu.

Menurut Mohd Khairuddin, banyak negara menyatakan minat terhadap minyak sawit dan terbaharu Iran menyatakan hasrat membeli minyak sejuta tan minyak sawit setahun.

"Saya akan ke Iran September ini untuk berbincang mengenai urusniaga itu. Selain Iran, Uzbekistan serta beberapa negara Afrika dan Asia tengah turut menunjukkan minat yang sama," katanya.

Sebelum ini, beberapa negara eropah mengancam untuk memboikot minyak sawit negara dengan mengklasifikasi industri sawit sebagai tidak mampan terutama penggunaannya sebagai bahan biodiesel.

Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!