X

Kindly register in order to view this article
!

Polis buka kertas siasatan terhadap penganjur edar durian percuma

Gambar tular memperlihatkan kehadiran orang ramai berdiri dan beratur tanpa penjarakan sosial dipercayai untuk mengambil durian yang diedarkan secara percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong ke Jalan Sekolah, pada Jumaat.
A
A

PARIT BUNTAR - Polis membuka kertas siasatan terhadap sebuah syarikat berhubung penganjuran pemberian durian percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong ke Jalan Sekolah di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, penganjuran program itu mengakibatkan orang ramai berdiri dan beratur dalam keadaan tidak terkawal tanpa penjarakan sosial.

"Pasukan polis yang ke tempat kejadian telah mengarahkan penganjur menghentikan pemberian durian secara percuma itu dengan serta-merta.

"Berikutan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat dan satu kertas siasatan telah dibuka ke atas penganjur," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkaan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini," katanya.

Pada Jumaat tular di media sosial beberapa gambar memperlihatkan kehadiran orang ramai berdiri dan beratur tanpa penjarakan sosial dipercayai bagi tujuan mengambil durian yang diedarkan secara percuma.

Program anjuran sebuah syarikat itu bermula pada jam 4 petang dan diadakan secara pandu lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!