X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang kembangkan pusat nelayan untuk bantu rakyat

Kerja memangkas pokok dijalankan di tapak pembinaan PPSN Sungai Batu.
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mengembangkan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Bayan Lepas untuk menjaga kepentingan komuniti nelayan dan masyarakat setempat.

Projek pembesaran yang melibatkan pembinaan PPSN baharu di Sungai Batu dan kerja menaik taraf PPSN Permatang Damar Laut serta Gertak Sanggul itu akan memperkasakan peranan PPSN sebagai pusat sehenti untuk semua urusan komunikasi berkaitan nelayan, selain memberi peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sebagai pengantara rakyat dan kerajaan negeri, PPSN menangani maklum balas nelayan berhubung dengan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

“Projek pembesaran ini akan mempertingkatkan mutu perkhidmatan PPSN untuk manfaat komuniti nelayan dan ahli masyarakat selatan Pulau Pinang,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan.

PPSN yang pertama dibuka di Permatang Damar Laut pada tahun 2016, disusuli PPSN di Gertak Sanggul setahun kemudian.

PPSN adalah salah satu syarat Laporan EIA (Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) projek PSR yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2019. Projek PSR adalah pembangunan milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Nelayan dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai PSR daripada PPSN.

PPSN juga membantu kerajaan negeri melaksanakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang memberi manfaat kepada komuniti nelayan dari segi peluang pekerjaan, perniagaan, latihan, pendidikan, bantuan bot dan enjin, serta pemberian sagu hati (ex-gratia).

Pembinaan PPSN yang baharu bakal memudahkan lagi nelayan dan masyarakat setempat berurusan.
Pembinaan PPSN yang baharu bakal memudahkan lagi nelayan dan masyarakat setempat berurusan.

PPSN turut menguruskan lawatan tapak projek dan menerima maklum balas nelayan serta orang awam semasa pelaksanaan PSR.

Lebih daripada 6,000 penduduk tempatan termasuk nelayan telah terlibat dalam sesi-sesi libat urus yang diadakan di dua pusat tersebut.

Beliau berkata, projek yang dijangka siap pada bulan Oktober tahun ini sedang dilaksanakan oleh syarikat kontraktor tempatan yang memerlukan bantuan setelah terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan negeri berharap dapat membantu perniagaan tempatan yang terjejas. Peluang perniagaan diwujudkan melalui PPSN dan PSR supaya mereka dapat mencari makan.

“Peniaga kecil juga dibantu dengan cara membeli barangan keperluan untuk bank makanan yang telah memanfaatkan 80 keluarga terjejas.

Sementara itu, kontraktor tempatan yang akan membina PPSN Sungai Batu, Mohd Kamal Abdullah, 39, bersyukur kerana mendapat kontrak setelah perniagaannya lama terjejas sebelum penularan Covid-19 lagi.

“Syarikat kecil macam kami tidak menggunakan subkontraktor, kami urus sendiri semua kerja binaan. Projek PPSN Sungai Batu ini memberi peluang saya dan pekerja jana pendapatan,” katanya.

Syarikat kontraktor itu mula menghadapi masalah sejak 2018 apabila pelanggan gagal membayar setelah per- khidmatannya.

Pada masa sama dia perlu membuat pembayaran kepada pembekal bahan binaan supaya syarikatnya tidak disenarai hitam selain perlu melunaskan gaji pekerja.

MOHD KAMAL
MOHD KAMAL

Mohd Kamal terpaksa menanggung kerugian bernilai puluh ribu ringgit malah nasibnya ibarat jatuh ditimpa tangga apabila PKP 1.0 dilaksanakan.

“Saya menghabiskan wang simpanan untuk membeli barang keperluan dan membayar bil. Saya sangka keadaan akan kembali normal apabila kes Covid-19 menurun, malangnya semakin teruk selepas pilihan raya di Sabah,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor sejak berusia 18 tahun.

Mohd Kamal menangkap ikan secara sambilan dan menjual lemang semasa musim perayaan untuk menyara keluarga.

Dia menyambut baik projek PSR yang dapat mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada orang tempatan di selatan Pulau Pinang.

“Projek PSR adalah projek jangka masa panjang. Hari ini, saya mendapat projek, mungkin esok lusa rakan saya pula.

“Saya harap dengan adanya peluang perniagaan dan pekerjaan secara berterusan, ekonomi akan pulih dan bertambah baik,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!