Rafizi bebas tuduhan tohmah TH

Mohd Rafizi Ramli
Mohd Rafizi Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli atas tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji menerusi akaun Facebooknya, tiga tahun lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan Mohd Rafizi, 42, pada 24 Januari lalu, untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya.

“Pendakwaan menerima arahan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Mohd Rafizi, mohon tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya pada prosiding hari pertama untuk Mohd Rafizi membela dirinya, hari ini.

Pada 25 September 2018, Mohd Rafizi, yang merupakan Naib Presiden PKR, diperintah membela diri atas pertuduhan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 8 April 2016, Mohd Rafizi, mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016 yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Tiga saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 22 Ogos 2017.

Mohd Rafizi dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada 9 pagi, 18 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini Mohd Rafizi diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli dan Md Yunos Shariff. - Bernama

Artikel Berkaitan: