Saran MKN, ilmuan IPT jalin kerjasama tangani Covid-19

Ammar Hassan
Ammar Hassan
A
A
A

KANGAR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) disaran menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai majlis perundingan serta badan pemikir untuk menangani pandemik Covid-19.

Pengerusi Kelab Usahawan dan Pelancongan Perlis (KUPPs), Dr Ammar Hassan berkata, idea daripada majlis berkenaan boleh dijadikan rujukan dalam melaksanakan kempen ‘Bersih Covid-19’ di negara ini.

Menurutnya, diharap dengan menggarap idea daripada golongan ilmuan, cadangan terbaik yang dihasilkan dapat digunakan oleh MKN dan kerajaan dalam mengurangkan kes harian yang kian meningkat.

“Memandangkan universiti ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelajar tidak dibenarkan berada di kolej, hanya pembelajaran secara dalam talian. Jadi masa terluang itu boleh digunakan oleh pakar ilmuan universiti untuk menjadi pemikir dan penasihat kepada MKN.

"Semua pihak perlu bersedia berganding bahu selesaikan wabak Covid-19 yang semakin tinggi kesnya sehingga melebihi sejuta kes aktif dengan 17,000 kes harian tertinggi setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau yang juga Pengarah Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS) itu turut menyarankan agar kerajaan terutama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melantik pembekal makanan yang dimasak untuk diagihkan kepada rakyat.

“Sediakan peruntukan untuk makan tengah hari dan malam. Strategi ini kemungkinan dapat mengurangkan pergerakan orang ramai untuk keluar membeli keperluan dapur seharian sekali gus dapat mengurangkan risiko bertembung dengan individu dijangkiti Covid-19.

"Malah KPLB juga boleh melantik pengusaha kantin di universiti dan sekolah sebagai pembekal makanan tersebut untuk diagihkan kepada rakyat yang memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ammar berkata, walaupun diberikan bakul makanan, sebahagian mereka tiada kelengkapan memasak atau makan di tempat kerja atau membeli makanan yang dibungkus.

Katanya, sekiranya bajet untuk membekal makanan dimasak lebih menjimatkan, adalah rasional ia dilaksanakan sekali gus dapat meringankan beban pengusaha kantin yang terpaksa menghentikan operasi setelah sekolah dan universiti ditutup.

"Saya yakin berbekalkan pengalaman dan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP), pelantikan mereka sebagai pembekal makanan dimasak dapat mengurangkan pergerakan dalam komuniti setempat," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertindak segera mengisi kekosongan jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berikutan ia belum diisi sejak lebih dua bulan lalu.

“Saya percaya kekosongan jawatan itu menyebabkan beberapa perkara yang perlukan tindakan segera untuk kepentingan siswazah dan warga kerjanya tertangguh, malah keputusan urus tadbir UniMAP juga turut terjejas,” katanya.