X

Kindly register in order to view this article
!

Kemelut Tunisia makin meruncing

Saied menegaskan segala keputusannya tidak melanggar Perlembagaan. - Foto Agensi
A
A

TUNIS - Pergolakan politik di Tunisia yang sebelum ini pernah mencetuskan Arab Spring pada 2011 semakin meruncing pada Rabu apabila Presiden Kais Saied memecat beberapa lagi pegawai kanan, beberapa hari selepas beliau menggantung Parlimen selama 30 hari dan mengambil alih kuasa eksekutif yang didakwa sebagai satu ‘rampasan kuasa’ oleh penentang beliau.

Ketika kemelut politik menggemparkan negara Afrika Utara itu, Saied turut menarik balik imuniti dalam kalangan ahli Parlimen dan mengambil alih kuasa kehakiman.

Langkah tersebut dibuat selepas pemimpin berusia 63 tahun itu memecat Perdana Menteri, Hichem Mechichi pada Ahad, disusuli dengan pemecatan Menteri Pertahanan, Ibrahim Bartaji dan pemangku Menteri Kehakiman, Hasna Ben Slimane sehari selepas itu.

Di bawah dekri terbaharu dikeluarkan pada lewat Selasa, Saied yang merupakan bekas pensyarah undang-undang bertindak mengeluarkan senarai nama individu baharu yang disingkirkan termasuk ketua pendakwa raya tentera.

Beliau turut memecat Lassaad Dahech yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) stesen TV Wataniya, beberapa jam selepas wakil kesatuan kewartawanan dan aktivis dilarang memasuki premis saluran berkenaan.

Saied kemudiannya melantik Awatef Dali untuk mengambil alih tugas Dahech secara sementara.

Walaupun dikecam, beliau menegaskan segala keputusannya tidak melanggar Perlembagaan kerana piagam tersebut membenarkan ketua negara mengambil tindakan luar biasa sekiranya wujud sebarang ‘ancaman’.

Menurutnya, tindakan tegas itu sangat wajar untuk menstabilkan ekonomi dan krisis kesihatan di tengah-tengah ancaman Covid-19 yang masih tinggi malah keputusannya turut menerima sokongan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, badan kehakiman telah melancarkan siasatan terhadap tiga parti politik Islam, Ennahda, Qalb Tounes dan gerakan Aich Tounsi berhubung dakwaan menerima bantuan dana asing secara haram pada Pilihan Raya Umum 2019.

Siasatan itu dilancarkan sejak awal bulan lalu selepas menerima aduan yang dikemukakan Mahkamah Auditor dan parti pembangkang.

Pembiayaan asing untuk kempen pilihan raya dan kegagalan mengisytiharkan tentang perkara tersebut dianggap sebagai melanggar undang-undang negara itu.

Krisis politik yang melanda Tunisia turut mendapat perhatian Barat termasuk Perancis yang menggesa pelantikan perdana menteri dan barisan kabinet baharu malah Kesatuan Eropah (EU) berharap kestabilan politik segera dikembalikan bagi memulihkan demokrasi di negara tersebut. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!