X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Parlimen dari UMNO diminta ikut keputusan MKT

Zahida Zarik Khan
A
A

SHAH ALAM - Puteri UMNO meminta semua ahli Parlimen daripada parti itu supaya melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, pendirian tersebut seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

"Jauhkanlah diri daripada kerajaan yang berkali-kali tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda.

"Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Jika bukan kita mempertahankan Institusi Raja Berpelembagaan, maka siapa lagi?" Katanya dalam Facebook beliau pada Khamis.

Puteri UMNO menggesa Muhyiddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya meletak jawatan dengan berpandangan tindakan itu wajar susulan pengumuman pembatalan ordinan darurat yang didakwa membelakangi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua negara.

Menurutnya, Puteri UMNO memandang serius kenyataan media Istana Negara pada Khamis apabila Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita berkenaan pembatalan semua ordinan darurat berkenaan.

"Tindakan ini juga bagi kami sebagai satu bentuk tiada penghormatan kepada Seri Paduka Baginda dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru, Puteri UMNO turut sama meminta kedua-duanya untuk meletakkan jawatan secara terhormat," katanya.

Beliau mengulas mengenai kekecohan akibat tindakan kerajaan mengumumkan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat secara 'backdated' pada Isnin.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!