X

Kindly register in order to view this article
!

Didin dapat sentuhan Rashid Sidek

Didin Taresoh
A
A

KUALA LUMPUR- Pemain badminton para negara, Didin Taresoh bakal mendapat tonik berharga apabila berpeluang menjalani latihan di bawah kendalian legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek menjelang Sukan Paralimpik Tokyo, bulan depan.

Rashid berkata pemain dari Sabah yang bertanding dalam kategori SS6 (kerdil) pada temasya sukan berkenaan dijangka memulakan sesi latihannya di Bukit Jalil minggu depan.

"Didin sebelum ini berlatih di Sabah namun saya akan latih dia kira-kira sebulan sebelum Sukan Paralimpik Tokyo berlangsung bulan depan.

"Didin baharu saja sampai di sini semalam dan menjalani kuarantin di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan sebelum menyambung latihan di Bukit Jalil minggu depan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Didin serta jaguh perseorangan lelaki para negara Cheah Liek Hou akan membuat penampilan sulung pada Sukan Paralimpik Tokyo di Jepun pada 24 Ogos hingga 5 September depan.

Sementara itu, Rashid yang membimbing Cheah bagi kategori SU5 (kecacatan bahagian atas tubuh badan) berkata pemain nombor dua dunia itu perlu berwaspada dengan ancaman pemain nombor satu dunia dari Indonesia Dheva Anrimusthi sekiranya kedua-dua pemain membuat perhitungan di Jepun nanti.

Rashid juga mengingatkan Cheah supaya tidak mengambil mudah saingan daripada Dheva walaupun pernah menewaskan jaguh Indonesia itu 14-21, 22-20, 21-18 di final Kejohanan Badminton Para Fazza-Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) April lepas.

Pada masa sama, Rashid mengakui mengimpikan tuaian emas daripada Cheah namun tidak mahu memberi tekanan kepada pemain itu dan berharap agar beliau bersiap sedia menghadapi cabaran dalam acara yang berlangsung di Yoyogi National Stadium, Tokyo.

Setelah menjuarai Kejohanan Badminton Para Fazza-Dubai, Cheah dilihat berada dalam momentum terbaik apabila mengungguli Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol Mei lepas mengalahkan wakil Jepun Taiyo Imai 21-13, 21-11 pada aksi final, yang juga merupakan saingan terakhirnya sebelum membawa cabaran negara di Tokyo.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!