X

Kindly register in order to view this article
!

Kesempitan hidup akan meningkatkan dagangan haram

Kehilangan kerja, potongan gaji dan kurangnya peluang pekerjaan kini mengakibatkan kesulitan kewangan kepada ramai pengguna di seluruh Malaysia akan meningkatkan perdagangan haram secara besar-besaran. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Fred Roeder
A
A

KUALA LUMPUR – Kehilangan kerja, potongan gaji dan kurangnya peluang pekerjaan kini mengakibatkan kesulitan kewangan kepada ramai pengguna di seluruh Malaysia dan keadaan ini akan meningkatkan perdagangan haram secara besar-besaran, kata kumpulan advokasi pengguna global, Consumer Choice Center (CCC).

Pengarah Urusan CCC, Fred Roeder berkata, pengguna yang terjejas oleh kekangan kredit biasanya akan mencari cara dan kaedah alternatif untuk berjimat dalam perbelanjaan harian mereka.

Beliau berkata, ini secara semula jadi membuka permintaan terhadap barangan seludup yang lebih murah kerana tidak dicukai dan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“Kami sudah menyaksikan peningkatan dalam perdagangan rokok seludup daripada siri rampasan berprofil tinggi dan memecah rekod oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) baru-baru ini.

“Jelas pengguna mencari alternatif lebih murah berbanding rokok sah yang lebih mahal dan sindiket jenayah dengan sukacitanya bekerja untuk memenuhi permintaan ini menggunakan apa sahaja cara yang boleh,” kata Roeder dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas Laporan Jabatan Perangkaan (DoSM) mengenai Gaji dan Ganjaran 2020 yang mendapat median gaji dan ganjaran bulanan mencatat penurunan dua angka sebanyak 15.6 peratus kepada RM2,062.

Selain itu, DoSM pada Rabu turut melaporkan graduan yang gagal memperoleh kerja meningkat sebanyak 22.5 peratus pada 2020.

Menurut CCC yang mewakili pengguna di lebih 100 negara di seluruh dunia, pengguna akan mengalami kerugian yang besar jika perdagangan haram tidak dapat dibendung.

Berdasarkan kertas dasar oleh CCC bertajuk Perdagangan Haram adalah Berbahaya Kepada Pengguna (Illicit Trade is Dangerous for Consumers), mereka menegaskan pasaran rokok seludup membinasakan kesihatan orang awam dan telah terbukti membiayai jenayah terancang.

Selain itu, perdagangan haram juga menyasarkan kumpulan yang paling lemah di dalam masyarakat manakala pengguna terkena impak disebabkan rokok seludup dihasilkan dalam persekitaran tidak selamat dan menggunakan produk tidak terjamin keselamatannya.

Ia juga mengetengahkan bahawa pekedai kecil terkena kesan yang besar akibat pasaran rokok seludup kerana mereka bukan sahaja kehilangan jualan rokok sah tetapi juga barangan lain yang biasa dibeli oleh perokok dewasa di kedai mereka.

“Penguatkuasaan sahaja tidak memadai untuk menangani perdagangan haram. Permasalahan rokok seludup misalnya, sebanyak 11.4 bilion batang rokok seludup dijangka membanjiri pasaran Malaysia tahun ini, berdasarkan Kajian Rokok Seludup (ICS) terbaharu pada Mei 2021 oleh NIELSEN," katanya.

Menurut Roeder, tindakan penguatkuasaan dengan merampas rokok seludup dalam bilangan jutaan batang adalah satu langkah ke jalan yang betul namun ia tidak sama sekali memberi kesan terhadap perdagangan seludup berpuluh-puluh juta ringgit ini.

“Penguatkuasaan hendaklah disokong dengan kesungguhan politik dan dasar cukai pragmatik. Penggubal undang-undang Malaysia hendaklah menghentikan pergeseran politik dan bekerja bersama-sama ke arah membanteras perdagangan haram dengan memperkasakan lagi agensi penguatkuasaan, menyokong perkongsian perisikan antara negara-negara dan menangani perbezaan harga yang berbeza besar antara rokok seludup dengan rokok sah,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!