'Kalau Sanusi kalah, seluruh Malaysia kenal saya' - Khizri

Khizri
Khizri
A
A
A

SIK - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim berpendapat, beliau akan menjadi terkenal sekiranya penyandang kerusi itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dari Perikatan Nasional (PN) tewas di kawasan berkenaan.

Selain menyifatkan dirinya sebagai calon 'underdog', Khizri menyedari beliau berhadapan dengan nama besar di Kedah dalam pilihan raya negeri (PRN) ini, namun itu tidak mendatangkan sebarang kegentaran terhadapnya.

"Saya tidak rasa beban itu kepada saya hanya kerana saya menentang Menteri Besar Kedah, jadi tiada apa kegentaran atau kerisauan terhadap saya.

"Sebagai calon 'underdog' saya optimis saya ada peluang dan mampu datangkan cabaran terhadapnya (Sanusi).

"Kalau saya kalah itu perkara biasa, tetapi kalau saya menang seluruh Malaysia akan kenal saya untuk lima tahun akan datang," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai strategi dan manifesto di Jeneri, Khizri yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik itu berkata, beliau akan memberi tumpuan pada usaha membangunkan modal insan menerusi pendidikan.

"Saya akan jumpa seramai mungkin (ahli) parti yang ada termasuk anak-anak muda yang akan mengundi.

"Anak-anak muda mudah terpengaruh di media sosial, jadi saya akan cuba jumpa seramai mungkin pengundi untuk jelaskan apa yang kita ingin laksanakan," katanya lagi.

Bercakap mengenai potensi beliau untuk memegang jawatan Menteri Besar, Khizri menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti andai kata berjaya memenangi kerusi berkenaan.

DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu melibatkan Khizri dan Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!