Bekas majistret menyesal terlibat gejala rasuah

Mohd Firdaus
Mohd Firdaus
A
A
A

SHAH ALAM - Sesal ke akhir hayat. Begitulah pengakuan seorang bekas majistret yang terlibat dengan gejala rasuah pada 2009 ketika berusia 27 tahun.

Bagi Mohd Firdaus Ramlan, semuanya sudah musnah termasuk sebuah kerjaya hebat yang pernah disandangnya suatu ketika dahulu.

Dia yang merupakan lulusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, khilaf yang dilakukan olehnya ketika belia itu telah ‘memakan diri’, malah kesannya memusnahkan segala yang ada padanya.

“Saya berada pada puncak kerjaya. Namun rasuah telah memusnahkan segalanya yang saya ada.

“Perjalanan hidup menjadi cukup perit. Bukan sahaja pada diri, keluarga saya juga cukup merana akibat perbuatan lampau saya itu,” katanya pada Rabu.

Firdaus (kanan) ditemu bual moderator Ismail Adnan pada sesi Sinar Live pada Rabu.
Firdaus (kanan) ditemu bual moderator Ismail Adnan pada sesi Sinar Live pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Hasil Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa’ pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, beliau bukannya tidak mengetahui tentang rasuah, tetapi kesedaran terhadap gejala buruk itu yang belum ‘tertanam’ dalam dirinya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ‘tahu dan sedar’ adalah dua perkara yang sangat berbeza.

“Saya mungkin sekadar tahu kerana tugas saya sebagai majistret membolehkan saya tahu tentang rasuah, tetapi hakikatnya saya sendiri tidak menyedari keperitannya sehinggalah saya ditangkap oleh SPRM dan dijatuhi hukuman,” ujarnya.

Jelasnya, dia semakin tersedar tentang kesilapan dan betapa besarnya kesalahan yang dilakukan apabila mendengar raungan si isteri apabila tiba di rumah setelah habis disiasat oleh SPRM.

Menurutnya, trauma yang dihadapi oleh isteri telah menyedarkan dirinya kerana meletakkan diri pada tempat yang cukup bermusibah.

“Lebih menyedarkan saya apabila saya mula bermonolog dengan semut-semut di dalam penjara,” katanya dengan penuh penyesalan.