X

Kindly register in order to view this article
!

Sarawak bersedia rancakkan semula industri pelancongan

STB CEO Sharzede Datu Hj Salleh Askor
A
A

KUCHING - Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sentiasa bersedia dan mengatur strategi untuk mengembalikan kegemilangan industri pelancongan Sarawak apabila mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan untuk membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor memberitahu, STB optimis bahawa industri pelancongan akan kembali mendapat rentaknya tidak lama lagi melihat kepada kejayaan program vaksinasi negara dan sentiasa berinovasi bagi memastikan industri ini kekal pada waktu sukar ini.

“Sejak pandemik covid-19 melanda dan menjejaskan ekonomi negara dan juga industri perlancongan terutamanya, STB telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan impak kepada pemain industri pelancongan tempatan. Antara inisiatif dari peruntukan dana STB adalah Kempen Sia Sitok Sarawak, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak dan Pakej Insentif Pengunjung (Visitors Incentive Package- VIP),” katanya.

Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak merupakan program pemangkin untuk memperluaskan jejak Digital Pelancongan Sarawak dengan memberi insentif kepada pemain industri untuk pembangunan dan penyelenggaran laman web, penyediaan isi kandungan dan pengiklanan digital yang bertumpukan pelancongan Sarawak.

Pakej Insentif Pengunjung pula bertujuan untuk membantu membangunkan semula perlancongan Sarawak selepas pandemik.

Ia merupakan insentif untuk membantu agensi perlancongan menarik kemasukan pelancong domestik dan juga antarabangsa.

“Selain itu, sebagai usaha untuk merevitalisasi sektor pelancongan Sarawak pada masa yang mencabar ini, kami melancarkan Kempen Pelancongan Antara Negeri Sarawak, 'Sia Sitok Sarawak' v1.0 yang dilancarkan pada 17 Ogos 2020.

"Melihat kepada kejayaan kempen ini yang telah menjadi satu jenama, Sia Sitok Sarawak V2.0 dilancarkan pada bulan April tahun ini.

“Walau bagaimanapun, kita perlu berwaspada dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila kebenaran melancong dibuka semula kelak,” katanya.

Seperti negeri-negeri lain di Malaysia, Sarawak turut terjejas ekoran pandemik.

Insentif itu membantu agensi perlancongan menarik kemasukan pelancong domestik dan juga antarabangsa.
Insentif itu membantu agensi perlancongan menarik kemasukan pelancong domestik dan juga antarabangsa.

Statistik menunjukkan, Sarawak mencatatkan kejatuhan teruk sebanyak 93.95 peratus bagi tempoh Januari-Mei 2021 dengan jumlah kemasukan pelancong seramai 56,278 berbanding 930,056 pada tempoh yang sama pada tahun 2020.

Bagaimanapun, jika kerajaan membuka sempadan daerah dan membenarkan aktiviti rentas daerah, penduduk di Sarawak boleh berkunjung ke daerah-daerah di Sarawak dan ini dapat merancakkan aktiviti pelancongan domestik.

Sharzede menambah, STB tidak pernah berhenti untuk mempromosikan Sarawak dengan memberi penekanan kepada budaya, pengembaraan, alam semulajadi, festival, makanan (culture, adventure, nature, festivals and food -CANFF) dan juga memperomosikan konsep 'Pelancongan Bertanggungjawab' (responsible tourism).

"Promosi berterusan ini penting untuk menimbulkan keinginan untuk berkunjung, dan menjadikan Sarawak sebagai 'teratas dalam senarai' tempatan apabila industri pelancongan domestik dibuka semula kelak," katanya.

Sarawak dikenali dengan taman negaranya dan juga inisiatif eko-pelancongan yang memperomosikan keindahan flora dan fauna yang menjadi nadi kepada bumi Kenyalang ini.

Sharzede berkata, konsep pelancongan lestari membantu Sarawak mengekalkan dan melinduingi kepelbagaian biologi yang terdapat di negeri ini yang menjadi syurga kepada ekosistem natural flora dan fauna.

Katanya, perlancongan lestari mampu melindungi khazanah asli ini bagi memastikan ia kekal untuk generasi akan datang.

“Sejak tahun 2021, STB telah mengambil beberapa langkah untuk mencipta kelestraian dalam industri pelancongan. Pada tahin 2019-2020, STB telah mengadakan bengkel khas yang melibatkan 3,177 peserta dari 23 homestay. Di bengkel ini mereka mempelajari pengurusan sis pepejal secara lestari dan juga skil membuat sabun.

“Baru-baru ini juga kami menganjurkan webinar Pelancongan Bertanggungjawab untuk mendedahkan pemain industri mengenai elemen-elemen dalam perlancongan bertanggungjawab dan bagaimana mereka boleh mendapat manfaat daripada konsep ini," katanya.

Dalam pada itu, STB juga berharap dapat menganjurkan festival-festival muzik secara fizikal pada tahun hadapan kerana festival muzik Sarawak mampu menarik pelancong dalam dan luar negara.

Pada tahun ini, dua festival muzik Sarawak iaitu Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Festival Jazz Borneo (RWMF) diadakan secara maya dan berjaya menarik sehingga 140,000 penonton daripada 80 buah negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!