Tangkap ikan guna bahan letupan

PPM merampas 50kg ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan. - Foto Ihsan PPM
PPM merampas 50kg ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan. - Foto Ihsan PPM
A
A
A

KUDAT - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 50 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, melalui Operasi Bersepadu PPM bersama Jabatan perikanan Kudat membuat pemeriksaan ke atas sebuah feri penumpang dari Karakit, Pulau Banggi ke Kudat di Terminal Feri Kudat dan menemui ikan berkenaan yang disimpan di dalam sebuah tong.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan juga mendapati juragan feri dan anak kapal serta penumpang tidak mengaku sebagai pemilik ikan berkenaan.

Menurutnya, tong yang berisi ikan tersebut dirampas dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM900. Kesemua rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh Jabatan Perikanan Kudat.

Pajeri menambah, PPM meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan dan penjualan hasil ikan daripada aktiviti berkenaan kerana boleh menjejaskan ekosistem marin dan memusnahkan batu karang.

“Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah juga sentiasa berusaha dengan serius untuk membanteras kegiatan ini sama ada secara sendiri atau menjalankan Operasi Bersepadu bersama Jabatan Perikanan,” katanya.

Artikel Berkaitan: